GEORGETOWN - Universiti awam di negara ini perlu berusaha untuk mendapatkan pembiayaan sendiri dan bukan hanya bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.
Exco Perancang Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi dan Inovasi, P Ramasamy berkata, pihak universiti perlu bekerjasama dengan industri untuk memperolehi dananya sendiri.
Menurutnya, dengan keadaan kewangan negara masa kini, kebergantungan sepenuhnya ke atas kerajaan dilihat bukan satu langkah yang wajar.
"Saya berharap agar pihak universiti boleh memikirkan sesuatu untuk pembiayaan sendiri antaranya bekerjasama dengan industri dengan mengadakan program dan projek bagi menanggung kos universiti sekali gus tidak membebankan kerajaan.
"Selain itu, dengan kerjasama itu, ia dapat melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tinggi untuk industri bagi masa hadapan.
"Dengan ini, mereka dapat meringankan beban kerajaan dan dalam masa sama, dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, kerajaan sepatutnya berundur dan memberi laluan kepada industri untuk mengambil alih dalam bekerjasama dengan universiti awam.
"Segala-galanya tidak boleh terlalu sentral dan birokratik, kita adalah kerajaan dan tidak mempunyai kepakaran. Dan disebabkan itu, biar pakar sahaja yang melakukannya.
"Ekonomi kita tidak bergerak ke hadapan jika nak dibandingkan dengan Indonesia atau Vietnam. Salah satu penyebabnya adalah dari sumber manusia yang mana, kita tidak berada dalam keadaan yang boleh digunakan untuk pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.
Ramasamy berkata, Malaysia hanya mempunyai 30 peratus tenaga kerja mahir manakala selebihnya bukan tenaga mahir termasuk pekerja asing.
"Satu-satunya cara untuk menaikkan peratusan tenaga mahir di negara ini adalah menerusi pendidikan. Apabila kita mampu menaikkan jumlah tenaga mahir, ia akan menarik minat pelabur dengan menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Dan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja tidak mahir di kalangan pekerja asing. Selain itu, saya melihat, negara perlu mempunyai lebih banyak institusi teknikal untuk melatih pekerja berkemahiran.
"Secara keseluruhannya, sistem pendidikan negara, bermula dari sekolah sehingga universiti mesti dirombak untuk menghadapi keperluan dan cabaran semasa. Negara sedang menghadapi cabaran teknologi dan internet tetapi adakah sekolah-sekolah bersedia untuk menghadapinya?," katanya.
Tambahnya, kaedah pengajaran yang konvensional dilihat terlalu rumit dan perlu diubah.
"Ia akan membuatkan pelajar hilang minat dalam bidang sains dan teknologi, bukan kerana mereka tidak menyukainya tetapi cara ia diajar.
"Oleh itu, saya berharap Kementerian Pendidikan akan mengkaji keseluruhan sistem pendidikan dan mengubahnya agar sesuai dengan perubahan masa," katanya.