KUALA LUMPUR - Dianggarkan 45.2 peratus penggunaan perkhidmatan bas percuma GoKL adalah oleh warga asing, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Justeru beliau tidak menolak kemungkinan untuk mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan awam tersebut.
"Mereka mengguna perkhidmatan ini secara pecuma. Kalau kita kutip RM1 sahaja untuk setiap penggunaan oleh warga asing ini, kita boleh kutip RM9.2 juta pada setiap bulan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu jumlah warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL dan adakah pihak kerajaan merancang mengenakan caj kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu pada masa hadapan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengenai punca rakyat tempatan tidak menggunakan pengangkutan awam di ibu kota, Jalaluddin berkata, antara sebab utama adalah ketersambungan jajaran batuan awal dan akhir masih belum memuaskan.
Selain itu, katanya, pengguna jalan raya mendakwa tempoh masa menggunakan kenderaan sendiri adalah lebih singkat berbanding menggunakan pengangkutan awam.
"Batuan awal antara kediaman pergi ke tempat bermula pengangkutan awam dan ke hentian akhir stesen pengangkutan awam ke pejabat, ini yang kita kena naik taraf dan dimasukkan dalam pelan jangka panjang DBKL,” katanya. - Bernama