TANAH MERAH - Kerja-kerja penggantian paip air lama di negeri ini sepanjang 103.01 kilometer (km) membabitkan kos RM61.5 juta di bawah pakej satu sudah pun bermula dalam usaha memastikan rakyat dapat menikmati bekalan air bersih.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, pakej satu itu membabitkan kawasan Kota Bharu Timur, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.
"Dengan penggantian ini, kita mampu mengatasi isu bekalan air di kawasan-kawasan terlibat.
"Penggantian ini melibatkan jenis yang sedia ada iaitu paip simen asbestos (AC) kepada paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) dan keluli lembut," katanya pada Majlis Pecah Tanah Penggantian Paip Lama seluruh Negeri Kelantan Pakej Satu di Surau Taman Indah di sini pada Isnin.
Menurutnya, projek yang dikendalikan oleh Ranhill Utilities Berhad melalui syarikat subsidiarinya, Ranhill Water Services Sdn Bhd (RWS) dijangka mampu mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW).
Beliau berkata, selain itu dia dapat mengatasi masalah kebocoran paip di kawasan terlibat.
Azami berkata, projek itu dilaksanakan berikutan kebanyakan paip di Kelantan menggunakan paip AC yang telah berusia dan merupakan satu daripada faktor menyebabkan NRW.
"Kajian telah dibuat oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi penukaran paip lama secara berperingkat dan penukaran ini akan melibatkan dua pakej dengan Pakej Dua di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan.
"Kerajaan Kelantan mengambil berat isu bekalan air dan sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh negeri,” katanya.