KUANTAN - Peningkatan kes penyakit hilang pendengaran berpunca daripada pekerjaan di negara ini semakin serius.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kementerian Sumber Manusia Mohd Anuar Embi berkata, sebanyak 2,042 kes direkodkan daripada 4,928 kes keseluruhan bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.
Kata beliau, berdasarkan data penyakit pekerjaan yang disahkan, sebanyak 1,273 atau 62.3 peratus adalah penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan; 35 kes atau 1.7 peratus Masalah Tulang-Otot Pekerjaan dan 29 kes atau 1.4 peratus berkaitan pendedahan bahan kimia berbahaya.
"Data-data ini dapat kita lihat bahawa ia penyakit pekerjaan utama berlaku di Malaysia. Kementerian Sumber Manusia melalui JKKP memandang serius trend peningkatan kes penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan di industri.
"Penyakit melibatkan pekerjaan ini memberi implikasi negatif terutama dalam aspek ekonomi dan sosial yang perlu ditanggung oleh pekerja, keluarga pesakit, majikan dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Seminar Guideline on Management of Occupational Noise-Related Hearing Disorders di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, pada Rabu.
Seminar itu yang diadakan selama dua hari dihadiri kir-kira 600 peserta daripada pelbagai sektor pekerjaan di seluruh negara.
Mohd Anuar berkata, seminar ini merupakan satu garis panduan holistik bagi membantu pihak industri dan pengamal perubatan terutama Doktor Kesihatan Pekerjaan di dalam pengurusan kes-kes penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan di industri.
Katanya, antara tujuan utama penggubalan garis panduan ini adalah membantu mengurangkan dan mencegah kes penyakit pekerjaan terutama kes penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan di tempat kerja.
"Garis panduan yang didedah ini dapat membantu pihak majikan dan Doktor Kesihatan Pekerjaan melaporkan kes penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan dengan lebih tepat dan mudah. Ia juga membantu pihak majikan, pekerja dan Doktor Kesihatan Pekerjaan di dalam proses tuntutan pampasan pekerjaan.
"Selain itu, JKKP dapat buat pemantauan dan lakukan penguatkuasaan berkaitan pendedahan bising di tempat kerja terutama pematuhan Keselamatan dan Kesihatan terhadap Peraturan-Peraturan 2019 dan Tata Amalan Pekerjaan (Pendedahan Bising) Industri bagi Bising Pengurusan Pendedahan Pekerjaan dan Pemuliharaan Pendengaran 2019,” katanya.