ALOR SETAR - Aksi wanita berpakaian mencolok mata pada Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) di Aman Central yang tular merupakan seorang tetamu, bukannya model memperagakan pakaian pada acara tersebut.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, hasil pertemuan dengan penganjur KFW22 memaklumkan individu berkenaan adalah seorang 'lelaki berperwatakan wanita' yang merakamkan gambar di bahagian pentas selepas tamat majlis tersebut.
Menurutnya, tindakan individu berkenaan dipercayai adalah untuk gambar peribadi yang diambil setelah acara pertunjukan fesyen tamat dan bukan sebahagian daripada acara KFW22.
"Saya telah memanggil pihak Aman Central, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Daerah Kota Setar untuk mendapatkan maklumat lanjut.
"Hasil pertemuan juga mengesahkan identiti individu berkenaan adalah seorang 'lelaki berperwatakan wanita' berlakon seperti seorang model, menggayakan pakaian yang tidak sesuai dan mengambil gambar serta video seterusnya memuat naik di media sosial,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.
Dr Mohd Hayati berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan peraturan dan undang-undang sedia ada.
"Kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengkaji dan memperkemaskan Peraturan-peraturan kecil berkaitan hiburan dan pertunjukan di negeri ini agar lebih menepati budaya dan tatasusila negeri ini,” katanya lagi.
Sebelum itu, tular di media sosial beberapa gambar model wanita yang berpakaian mencolok mata ketika acara KFW22 berlangsung di pusat beli-belah Aman Central selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.
Gambar yang tular itu mendapat kecaman daripada orang ramai terutama netizen di media sosial yang mempersoalkan penganjuran program berkenaan dengan kerajaan negeri yang diterajui Pas susulan bertentangan dengan syariat Islam.
Terdahulu, Dr Mohd Hayati telah mengeluarkan kenyataan menasihatkan penganjur KFW22 agar mematuhi peraturan serta syarat-syarat kelulusan lesen hiburan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar.
Beliau turut mengingatkan agar pakaian yang diperagakan mestilah sopan serta tidak mencolok mata bertepatan dengan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.
Sementara, Pengurus Pemasaran Kanan Aman Central, Ken Chin kesal dengan penularan gambar tersebut yang dikongsi oleh salah seorang tetamu KFW22 yang mana gambar berkenaan tidak mencerminkan kod etika pemakaian ditetapkan penganjur.
"Kami kesal atas segala kesulitan yang berlaku dan akan pastikan etika pemakaian yang ditetapkan di mana-mana majlis di Aman Central dipantau lebih ketat selepas ini.
"Selaku penganjur KFW22, kami telah mendapatkan kesemua kelulusan oleh pihak berwajib sebelum majlis dilangsungkan. Acara ini mendapat sambutan menggalakkan terutamanya oleh pereka tempatan yang menjadikan KFW sebagai platform rasmi kalangan pereka fesyen,” katanya.
Menurutnya lagi, KFW22 adalah acara tahunan di Aman Central dan tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak lain.
"Acara ini dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan pakaian dan jenama-jenama di Aman Central, selain menampilkan pereka tempatan tanah air untuk mempromosikan Aman Central. Penganjuran kali ini adalah penampilan semula selepas dua tahun acara tersebut dibatalkan ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pihaknya memohon maaf atas insiden berkenaan yang telah menyentuh sensitiviti pihak tertentu.