Kelulusan Putra akan didengar 9 Mei depan

Iklan
Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan untuk mendengar permohonan Datuk Dr Ibrahim Ali berhubung permohonan defendan untuk menubuhkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada 9 Mei nanti.

Peguam Ibrahim, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, peguam mewakili Peguam Negara telah mengemukakan dua bantahan terhadap tuntutan agar Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan pendaftaran parti itu.

Iklan
Iklan

"Pertama, mereka katakan keputusan masih belum dibuat dan tindakan memohon kebenaran kehakiman terhadap RoS adalah tindakan pra matang.

"Keduanya peguam negara mempersoalkan bagaimana boleh pihak pemohon memohon perintah mendamus untuk mengarahkan ketua pengarah pertubuhan untuk daftarkan parti Putra.

Iklan

"Selepas mahkamah mendengar hujahan dua pihak, mahkamah memutuskan untuk menangguhkan proses pemberian kebenaran oleh RoS kepada tarikh 9 Mei depan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini seperti laporan Malaysia Dateline.

Tambah beliau, mahkamah turut menasihatkan kedua-dua pihak menyelesaikan proses pendaftaran parti itu tanpa melibatkan mahkamah.

Iklan

"Mahkamah juga menasihati Ibrahim untuk sekali lagi menghantar notis undang-undang melalui Jabatan Peguam Negara untuk diserahkan kepada Ketua Pengarah RoS.

"Ia bagi memberikan masa kepada RoS membuat keputusan samada meluluskan atau tidak meluluskan Putra mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1960,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, mereka membawa kes itu ke mahkamah kerana berdukacita terpaksa menunggu lama dalam proses pendaftaran parti itu.

"Saya menyeru rakyat Malaysia bersama kami, berdoa agar Putra diluluskan supaya Putra boleh memainkan peranan dalam pembinaan negara kita.

"Dulu parti Bersatu ditubuhkan dalam satu bulan tapi selepas PH memerintah, sudah enam bulan masih tiada jawapan,” ujarnya.

Sebelum ini, Ibrahim telah menghantar permohonan untuk penubuhan parti tersebut secara atas talian pada 13 Ogos tahun lepas.

Dokumen berhubung penubuhan Putra juga dihantar kepada responden (Ketua Pengarah RoS dan kerajaan) pada 16 Ogos tahun sama selain perjumpaan turut diadakan dengan pegawai responden untuk mendapatkan penjelasan tentang prosedur operasi standard (SOP) proses kelulusan itu.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas berhubung status permohonannya selain mendakwa wujud ketidakpatuhan dalam SOP yang dikendalikan oleh responden.