Rombak kaedah perolehan projek kerajaan

Iklan
Kapal pertama daripada enam unit kapal tempur pesisir (LCS) milik TLDM yang siap dibina dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Sistem urusan perolehan atau procurement negara perlu ditambah baik terutama dalam memastikan aspek ketelusan dapat diterjemahkan sepenuhnya sekali gus memastikan tidak berlakunya pembaziran wang rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia-#RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, skandal kapal tempur pesisir (LCS) jelas menunjukkan betapa pentingnya sistem pengurusan perolehan negara perlu ditadbir dengan cekap dan melibatkan satu tahap ketelusan yang sangat serius.

Iklan
Iklan

Berhubung urusan perolehan LCS itu kata beliau, bayaran kemajuan LCS dilihat melebihi kemajuan kerja sebenar iaitu membabitkan bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sekitar 44 peratus.

Jelas beliau, kejadian seumpama itu dengan jelas memberi persepsi bahawa pelaksanaan projek mega tersebut membabitkan sebuah kontrak yang berat sebelah.

Iklan

Dalam hal ini katanya, dokumentasi perundangan berkaitan kontrak kerajaan perlu diteliti oleh pihak yang bukan saja berkelayakan, malah mengetahui spesifikasi teknikal khusus berkaitan sesebuah transaksi.

Selain itu menurutnya, pihak yang terlibat juga mestilah berakauntabiliti dalam memastikan keselamatan serta kepentingan negara tidak terjejas.

Iklan

"Kita memerlukan objektiviti dalam mengambil tindakan terhadap isu ini (LCS). Ini kerana risiko rasuah cukup terbuka luas untuk dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pemantauan serta penelitian pihak yang berkredibiliti perlu bermula di peringkat awal, seterusnya berupaya melengkapkan kontrak dokumentasi perundangan dengan baik.

"Semua pelaksanaan baik ini diharap akan dapat meminimumkan potensi rasuah untuk berlaku dalam projek kerajaan," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.

Kroni dan favoritisme

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, isu kronisme dan favoritisme juga adalah bentuk korupsi yang menjurus kepada kontrak atau rundingan berat sebelah.

Tegasnya, perbuatan tidak bertanggungjawab serta tidak amanah tersebut seharusnya ditangani sejak dari awal penawaran projek kerajaan.

Tambahnya, pemantauan terhadap potensi berlakunya rasuah akan meminimumkan pendedahan terhadap berlakunya kes penipuan, pakatan-pakatan tidak bermoral serta amalan rasuah.

Jelasnya, prosedur perolehan hendaklah didedahkan kepada umum agar proses penilaian berlangsung dengan telus di setiap peringkat.

"Hanya dengan cara ini kita akan dapat memastikan integriti projek terpelihara di setiap perkembangan dan tahap projek yang dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berhubung isu LCS, Nurhayati berkata, gabungan pasukan #RasuahBusters mahukan satu kenyataan yang penuh bertanggungjawab, bukan persoalan tentang penghakiman oleh netizen yang harus dibimbangkan.

Menurut beliau, barisan kepimpinan negara harus bijak mengemudi perspektif serta memberi verifikasi yang telus berhubung kehendak rakyat terhadap kebenaran, khususnya dalam skandal LCS melibatkan satu jumlah dana yang sangat besar.

Katanya, rakyat berhak tahu apa yang berlaku, menilai apa yang terbaik untuk kesejahteraaan serta keselamatan mereka pada waktu sekarang dan masa mendatang.

Tentunya dalam masa yang sama menurutnya, jika terdapat sebarang makluman yang perlu diklasifikasikan sebagai rahsia negara, kerajaan harus bijak menentukan komunikasi bagaimanakah yang perlu dalam menangani isu berlaku.

"Skandal LCS ini bukan setakat isu kegagalan kontrak disempurnakan dalam tempoh yang ditetapkan atau semata-mata kerugian kewangan yang dialami oleh negara akibat kemungkiran kontrak, ia lebih daripada itu kerana melibatkan isu pertahanan tanah air.

"Sekalipun projek ini berjaya disempurnakan dan diserahkan, namun adakah ia bersesuaian dengan fungsi pengguna akhir yang cadangannya telah dinafikan sejak awal lagi?

"Sehubungan itu, satu siasatan penuh dan mencari mereka yang bersalah sehingga ke lubang cacing perlu disegerakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain pihak yang terlibat dikenakan hukuman setimpal agar rakyat dapat melihat keadilan benar-benar terlaksana di negara ini," katanya.