SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan adakah benar Perikatan Nasional (PN) berjaya mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi seperti yang dinaratifkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid mendakwa, hutang negara bertambah 46 peratus dalam masa yang begitu singkat dan had hutang kerajaan terpaksa dinaikkan dua kali dari 55 peratus kepada 60 peratus dan seterusnya kepada 65 peratus.
"Ekonomi merudum, manakala pendapatan rakyat terkesan dan hasil kerajaan dari cukai korporat serta cukai peribadi turut merosot. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan jumlah pelaburan asing jatuh antara paling rendah. Pasaran saham Malaysia menjunam dan menjadi pasaran saham dengan prestasi antara paling corot dalam dunia,” katanya pada Rabu.
Beliau turut menyatakan bahawa dividen-dividen juga jatuh teruk berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan memberi tekanan lebih besar kepada pendapatan tahunan rakyat di negara ini.
"Selain itu rizab tunai Petronas dijarah dalam masa empat tahun termasuk semasa dia menjadi anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Benarkah PN memberi keutamaan kepada membela nasib rakyat demi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat akibat pandemik Covid-19?” soalnya.
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut mengingatkan kembali mengapa UMNO terpaksa menarik balik sokongan (jawatan Perdana Menteri) kepada pemimpin utama yang akan mengetuai PN pada PRU15.
"Pertama, ia disebabkan oleh kegagalan PN menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat. (Sebanyak 12,784 nyawa maut, 1.42 juta kes jangkitan dan 249,277 kes aktif sebelum dia terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri).
"Kedua, menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara. Ordinan Darurat ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat 'dwistandard' dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat dalam keadaan mereka terbeban dengan isu kelangsungan hidup,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, ia juga berpunca daripada kegagalan PN mempertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga 'memandulkan' segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela.
"Kegagalan PN menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori termasuk tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj atau faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi kerajaan yang lain seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir serta terpaksa melalui karenah birokrasi membebankan,” katanya.
Menurutnya, Muhyiddin sewaktu menjadi Perdana Menteri juga memberi pelbagai alasan dan sindiran kepada desakan BN berhubung perkara itu dan selepas terpaksa meluluskan perkara tersebut, dia"angkat bakul sendiri" pula.
"Insya-ALLAH apabila BN kembali sebagai kerajaan dominan kita akan cari kaedah paling berkesan bantu rakyat memulihkan semula jumlah simpanan yang telah dikeluarkan demi keperluan mendesak,” katanya.