58 rumah, inap desa di Tanjung Bidara rosak dilanda ribut

Iklan
Roslan mengutip serpihan atap yang pecah dan bertaburan di hadapan rumah selepas dipukul ribut di Kampung Pasir Gembur pada Rabu. - Foto Bernama

ALOR GAJAH - Kira-kira 10 pengusaha inap desa di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara dan kawasan sekitarnya mengalami kerugian ribuan ringgit dalam kejadian ribut yang melanda di sini pada pagi Rabu.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 9.40 pagi itu, sebanyak 58 rumah daripada 56 keluarga termasuk rumah yang dijadikan inap desa di empat kampung iaitu, Kampung Pasir Gembor, Kampung Air Hitam Darat, Kampung Air Hitam Pantai dan Kampung Balik Batu serta sebuah masjid terjejas susulan kejadian ribut itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang pengusaha inap desa, Roslan Misbah, 54, berkata, beliau berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan oleh anaknya mengenai kejadian ribut melanda kawasan tersebut.

Iklan

"Anak saya (Samsul Adli) kebetulan berada di homestay ini beritahu kawasan rumah dilanda ribut, malah sempat rakam kejadian itu. Tak sangka pukulan angin ribut kali ini sangat kuat hingga terbangkan bumbung inap desa kami," katanya kepada Bernama.

Susulan dibadai ribut, Roslan yang mengusahakan inap desa bersama rakannya sejak dua tahun lepas berkata semua tempahan terpaksa dibatalkan bagi kerja-kerja pembaikan dan pembersihan.

Iklan

Katanya, antara kerosakan yang dialami ialah kerosakan pada bumbung, tilam dan perabot serta kelengkapan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan pemanas air yang dianggarkan hampir RM8,000.

"Apa pun, saya reda sebab terpaksa batalkan tempahan bagi tempoh dua bulan ini. Kalau ikutkan tempahan, semuanya sudah penuh hingga hujung tahun," katanya.

Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara dan kawasan sekitarnya selepas dilanda kejadian ribut pada pagi Rabu. - Foto Bernama

Seorang lagi penduduk, Nurul Aini Mazlan, 36, berkata, kejadian ribut kali ini benar-benar menakutkannya sejak lapan tahun dia menetap di kampung tersebut.

"Elok saja suami parkir kereta di garaj tepi rumah, angin ribut melanda. Habis tercabut semua atap genting, bumbung rumah....memang takut sebab beberapa ketika sebelum kejadian, saya pandang laut, memang kelihatan putih," katanya.

Mengakui sedih dan luluh melihat kerosakan yang dialami serta terpaksa menanggung kerugian hampir RM15,000 Nurul Aini bagaimanapun reda dengan ujian tersebut.

"Benda tak boleh dijangka dan inilah antara risiko duduk di tepi pantai. Bagaimanapun, saya terima dengan hati terbuka walaupun sedih dan dalam masa yang sama masih takut dengan apa yang menimpa," katanya.

Dalam pada itu, penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Mohd Azizan Daud berkata, pihak Japerun telah menghulurkan bantuan awal manakala pejabat daerah sedang melakukan siasatan bagi menilai kerosakan yang dialami penduduk terjejas.

"Setakat ini, empat keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Falak Al-Khawarizmi dan mendapati empat rumah langsung tidak dapat didiami.

"Kita juga akan memberi bayaran sagu hati menerusi Tabung Bencana Negeri dan juga dari Majlis Agama Islam Melaka sebagai bantuan segera,” katanya. - Bernama