SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, parti itu akan 'lumpuh' dalam tempoh 10 tahun lagi jika masih tidak berani melakukan perubahan.
Menurutnya, itu realiti nasib UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti jika parti tersebut masih dibuai dengan cara pemikiran lama yang boleh menyebabkan UMNO 'mati' dalam hati orang muda atau pengundi muda.
Beliau berkata, secara jelasnya pengundi muda hari ini sudah tidak hairan dengan cara politik lama yang penuh dengan retorik perjuangan demi bangsa dan agama.
"Orang muda lebih tertarik kepada politik 'movement based' yang bermula dalam skala kecil tapi menarik cita rasa mereka sama ada bertentangan dengan budaya atau undang-undang, semacam sudah jadi amalan biasa sekarang ini.
"Pengundi muda bakal mendominasi citarasa dan pilihan selepas PRU15 dan bermula PRU16 pula, pengundi matang UMNO hanya tinggal berapa kerat sahaja lagi. Oleh itu, UMNO kena lakukan perubahan dari sekarang, buat peremajaan bermula dari PRU15 ini. Masih belum terlambat untuk perubahan dilakukan jika kita bertindak segera.
"Tambahan pula pada PRU15 nanti, dijangka lebih empat juta pengundi berusia 18 tahun sudah didaftarkan secara automatik. Mereka ini bakal menjadi suara baharu dan dominan pada PRU-PRU akan datang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, UMNO perlu melaksanakan perubahan dari pelbagai aspek meliputi perubahan pemikiran, pendekatan, kepimpinan dan perubahan melibatkan calon-calon PRU15.
Katanya, menjelang PRU15 juga, UMNO perlu mempunyai strategi untuk mendapatkan sokongan kumpulan pengundi muda.
"Cara orang tua mungkin susah untuk tarik orang muda. Biarlah orang muda ikut cara orang muda untuk tambat hati geng mereka.
"Rehatkanlah lebih ramai 'kuda-kuda tua' atau pemimpin veteran parti terutamanya mereka yang tiada lagi hati untuk berjuang atau bersama ketetapan parti dan berilah pula peluang kepada calon-calon muda untuk meneruskan legasi perjuangan UMNO.
"Takkanlah kita nak melihat lagi ada calon-calon tua yang seusia dengan UMNO masih nak bertanding," katanya.
Pada masa sama katanya, UMNO tidak boleh lagi terlalu mengharapkan sumbangan besar MCA dan MIC kepada BN pada PRU15 nanti kerana sehingga kini masih belum kelihatan pengundi bukan Melayu berduyun-duyun kembali sokong mereka atau BN.