PUTRAJAYA - Susulan keputusan kabinet meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyegerakan siasatan terhadap projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS), Kementerian Pertahanan menegaskan pihaknya akan melakukan apa sahaja bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada apa yang mahu disembunyikan sebaliknya mahu ia selesai dan diteruskan demi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta dana awam yang dibelanjakan untuk kepentingan negara.
"Saya dan Kementerian Pertahanan akan memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta audit forensik.
"Saya dan barisan kepimpinan di Kementerian Pertahanan tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan sebaliknya hanya mahukan perkara ini dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan TLDM, demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut memberi jaminan bahawa keputusan yang dibuat oleh kabinet tidak akan menggangu tiga perkara yang pernah ditegaskan sebelum ini iaitu TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras dengan keputusan jemaah menteri pada April 2022.
"Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan.
"Ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, Kementerian Pertahanan juga sedang giat melakukan kerja-kerja rundingan dengan pihak OEM, vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS demi memastikan TLDM dapat memiliki LCS yang sangat mereka perlukan secepat mungkin.