SKUAD Bawah 16 tahun (B-16) diharap mendapat pengalaman berguna biarpun mengakhiri cabaran Kejuaraan AFF B-16 2022 pada kedudukan kelima Kumpulan C, sebagai persediaan mengharungi Kelayakan Piala Asia AFC B-17 Oktober ini.
Menurut pengurus skuad B-16 negara, Christopher Raj, para pemain diharap dapat mengambil iktibar sepanjang kempen kejuaraan itu dan bangkit pada kejuaraan lain selepas ini.
"Saya percaya kesemua pemain telah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Yogyakarta. Bagi saya, mereka semua merupakan para pemain yang mempunyai semangat juang tinggi dan sentiasa bersedia bermain demi negara.
"Saya yakin dan percaya, generasi 2006 ini pasti akan mewakili skuad negara pada satu masa nanti,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.
Skuad B-16 menyingkap saingan kali ini menewaskan Kemboja 3-0 sebelum terikat 1-1 menentang Myanmar kemudian terikat 2-2 berdepan Australia.
Keputusan itu menyaksikan pasukan negara gagal layak ke separuh akhir setelah apabila hanya sekadar menamatkan saingan kumpulan dengan lima mata.
Sementara itu, Christopher berterima terima kasih kepada semua pihak terutamanya kepada pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan muda negara tersebut.
"Terima kasih juga kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberikan perhatian secukupnya kepada para pemain ini ketika mereka berada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang dan di Casa MSN, Bukit Jalil termasuk pengorbanan daripada ketua jurulatih Osmera Omaro dan barisan kejurulatihannya.
"Selain itu, saya turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat di media sosial; saya amat menghargai dan menyanjungi pengorbanan serta sokongan kalian semua,” katanya.