Bekas pekerja pecah masuk stor, curi barang bernilai RM20,000

Iklan
Suspek pernah bekerja selama enam bulan dan diberhentikan pada Julai alu kerana mempunyai tabiat suka mencuri.

JOHOR BAHRU - Seorang bekas pekerja stor dan dua rakannya memecah masuk sebuah stor bengkel kereta yang merupakan tempat kerja lamanya di Sungai Tiram di sini pada Sabtu sebelum melarikan pelbagai barangan bernilai RM20,000.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu yang dibuat pengusaha bengkel membaiki kereta terbabit pada Ahad sebelum usaha mengesan suspek dilakukan.

Iklan
Iklan

"Mangsa memaklumkan berlaku kejadian kecurian dilakukan bekas pekerjanya. Susulan itu tiga lelaki terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 iaitu samun menggunakan senjata.

Iklan

Sementara itu, pemilik stor kereta, Mohamad Hussin Jamal, 36, berkata, suspek melarikan barangan antaranya bateri, rim, komponen kereta bernilai keseluruhan RM20,000.

Berikutan itu dia membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram pada Ahad sebelum dua suspek ditahan pada hari sama manakala bekas pekerjanya itu pula ditahan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, semasa kejadian bekas pekerjanya itu dan dua lagi rakannya yang bersenjatakan pisau, nyaris mencederakan pekerja stor lain sebelum mengugut dan melarikan barang yang dicuri.

"Pekerja stor tersebut mendakwa dia diugut suspek supaya tidak mendedahkan perbuatan mereka," katanya.

Dia mendakwa, bekas pekerjanya yang berusia 24 tahun itu bekerja di stor berkenaan selama enam bulan dan diberhentikan kerja pada 24 Julai lalu kerana sebelum ini mempunyai tabiat suka mencuri.

Katanya, semua suspek sebelum ini pernah menceroboh stor berkenaan dan menjadikannya tempat untuk melepaskan gian.

Dia sendiri pernah menyiasat perkara tersebut dan terkejut apabila mendapati semua suspek berada dalam stor itu sebelum melarikan diri.