DILEMA pelari sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk memilih universiti terbaik bagi melanjutkan pengajian dan usaha melebarkan peluang kerjaya dalam sukan olahraga.
Pelari pecut itu belum membuat keputusan dan masih berlegar-legar dalam fikiran untuk memilih Universiti Houston atau Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).
Atlet berusia 18 tahun itu melakar kejutan memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, minggu lalu.
Azeeem menyatakan, sekiranya dia memilih Houston, ia disebabkan universiti itu telah melahirkan ramai jaguh pecut dunia selain legenda AS yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik sembilan kali, Carl Lewis sebagai ketua jurulatih.
"Komuniti Islam di Houston adalah besar yang mana boleh membantu dan menjamin keadaan saya di sana. Dari segi latihan, Universiti Houston sudah melahirkan jaguh pecut bertaraf dunia termasuk Shaun Maswanganyi dari Afrika Selatan yang turut beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Universiti ini juga memang terkenal dalam sukan olahraga dunia kerana ketua jurulatihnya adalah Carl Lewis," katanya ketika ditemui media sejurus tiba dari Colombia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.
Bagaimanapun Azeem memberitahu, dia juga ada menerima tawaran dari Auburn yang memiliki taraf akademi terbaik berbanding universiti sukan lain.
"Inilah dua universiti yang bermain dalam fikiran saya. Kedua-dua universiti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
"Namun, kedua-dua ada dalam divisyen satu (saingan olahraga di AS). Ini adalah peluang untuk saya menyertai kejohanan besar yang lain seperti Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik dan Liga Berlian.
"Apa pun saya akan bincang dengan keluarga dan jurulatih untuk memutuskan universiti terbaik untuk masa depan saya," katanya.
Selain Houston dan Auburn, Azeem yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) turut mendapat tawaran daripada dua lagi universiti iaitu Minnesota dan Oregon.
Katanya, jika perancangan dan persediaan berjalan lancar, dia bercadang untuk mendaftarkan diri di universiti yang menjadi pilihannya pada Januari depan.
"Banyak proses perlu saya lakukan termasuk menghadiri kelas bagi membolehkan melanjutkan pengajian di AS. Kami sasar masuk pengambilan Januari tetapi jika tidak sempat, memang kena masuk pengambilan September tahun depan," katanya.
Pencapaian cemerlang Azeem di Colombia menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan sebelum ini 10.18s ketika menjuarai saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.
Azeem yang layak sehingga peringkat akhir bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s.