Piala AFC: KL City cipta sejarah mara ke final Zon ASEAN

Iklan
KL City FC mara ke perlawanan akhir Zon ASEAN saingan Piala AFC selepas mengatasi wakil Vietnam Viettel FC 6-5 dalam penentuan sepakan penalti di Ho Chi Minh City, malam ini. - Foto Bernama

KUALA Lumpur (KL) City FC melakar sejarah tersendiri apabila mara ke perlawanan akhir Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas mengatasi wakil Vietnam Viettel FC 6-5 dalam penentuan sepakan penalti di Ho Chi Minh City, malam ini.

Pada pertembungan separuh akhir di Stadium Thong Nhat itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas masa tambahan sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti yang menyaksikan penjaga gol KL City FC Muhammad Azri Abdul Ghani muncul wira pasukan.

Iklan
Iklan

Muhammad Azri meneka dengan tepat apabila merebahkan badannya ke arah kiri gawang gol untuk menyelamatkan sepakan penalti ketujuh pasukan tuan rumah diambil Bui Duy Thuong sekali gus membantu pasukan menempah pertemuan menentang kelab dari Indonesia PSM Makassar di pentas akhir.

Tendangan penalti Muhammad Irfan Zakaria tersasar sementara rembatan Tran Danh Trung terkena palang dalam lima sepakan pertama kedua-dua pasukan.

Iklan

Sepakan penalti ketujuh KL City disempurnakan Muhammad Akram Mahinan sebelum Muhammad Azri bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Duy Thuong bagi memastikan kemenangan bagi kelab dari Kuala Lumpur itu.

Perlawanan akhir Zon ASEAN dijadual berlangsung 24 Ogos ini dengan venue perlawanan akan ditentukan menerusi undian akan datang. Juara kemudian akan meneruskan cabaran berentap dalam peringkat separuh akhir antara zon bagi meneruskan pemburuan kejuaraan Piala AFC.

Iklan

Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama skuad The City Boys layak ke pentas akhir Zon ASEAN selepas menamatkan penantian 28 tahun untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati pertandingan itu.

Semalam, hasrat satu lagi wakil negara Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mara ke final Zon ASEAN tidak kesampaian selepas kecundang 1-2 kepada PSM Makassar dalam satu lagi aksi separuh akhir. - Bernama