Enam penyelam bantu cari mangsa bot karam

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan enam penyelam bagi meneruskan misi pencarian dua lagi mangsa tragedi bot karam di perairan Pulau Redang yang masih hilang.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, penyelam tersebut sudah dibawa ke lokasi kejadian menggunakan KM Bagahak untuk membuat selaman di sekitar bot yang dilaporkan karam.

Iklan
Iklan

"Op Carilamat diteruskan bermula jam 7 pagi ini dan sektor pencarian mangsa diperluaskan kepada 169.4 batu nautika persegi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, beberapa aset seperti KM Bagahak dan pesawat milik Maritim Malaysia, bot Jabatan Perikanan dan bot nelayan tempatan turut digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Iklan

Pada Rabu, tiga mayat mangsa tragedi bot nelayan karam di perairan Pulau Redang dijumpai di lokasi berlainan pada jarak antara 1.7 hingga 1.9 batu nautika dari pulau berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa, Saludin Ismail, 50, Mohd Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48, ditemukan sekitar jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari oleh nelayan setempat.

Iklan

Setakat ini dua lagi mangsa iaitu Ahmad Zamri Ishak, 66, dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, masih belum dijumpai.

Lima individu berkenaan dikhuatiri lemas setelah bot yang dinaiki mereka dilaporkan karam kira-kira 10 batu nautika dari perairan Pulau Redang pada malam Isnin.

Bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan sebelum dilaporkan karam.

Bagaimanapun seorang mangsa iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, ditemukan selamat.