BIARPUN berdepan tentangan sengit daripada Eintracht Frankfurt pada aksi Piala Super UEFA 2022 di Stadium Olimpik Helsinki pada Khamis, namun pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti tetap bangga dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya hingga mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas skuad Bundesliga itu.
Menurutnya, skuad kendaliannya itu turut menerima tekanan hebat daripada lawan yang dilihat menggunakan corak pantas ketika mengasak ke gawang skuad Los Blanco situ.
Bagaimanapun katanya, jaringan pembukaan menerusi David Alaba pada minit ke-37, membuatkan kesebelasan Real Madrid mula bersemangat untuk lebih kerap mengasak ke gawang lawan bagi menambah jaringan.
"Saya akui, kita berdepan kesukaran pada perlawanan ini..kami juga bermula perlahan dan berhati-hati.
"Tetapi segala-galanya berubah setelah kami menjaringkan gol pertama yang menyaksikan kami pula yang menguasai perlawanan.
"Keadaan ini berterusan hingga ke babak kedua dan menyaksikan kami menjaringkan gol kedua menerusi Karim Benzema pada minit ke-65,” katanya.
Untuk rekod, kemenangan itu turut menyaksikan Ancelotti melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pengendali pertama yang memenangi empat trofi Piala Super UEFA dan empat trofi Liga Juara-Juara, selain memenangi gelaran juara liga bagi lima divisyen utama saingan bola sepak Eropah.
Sementara itu, Ancelotti turut memuji kesebelasan pemain Real Madrid yang telah memberikan aksi terbaik masing-masing pada perlawanan berkenaan.
"Pujian sebenar adalah kepada pemain-pemain Real Madrid yang telah berusaha keras di sepanjang perlawanan.
"Biarpun beraksi pada tahap intesiti yang tinggi, namun mereka masih mampu beraksi sebagai sebuah pasukan, menyerang serta bertahan bersama-sama dan ia menjadi faktor utama mendorong kepada kejayaan kali ini,” katanya.