Kad kredit adalah antara kemudahan pinjaman yang paling mudah diperolehi sehingga ramai antara kita yang menganggapnya sebagai pengganti tunai, bukannya hutang.
Kesilapan tanggapan terhadap kad kredit menyebabkan ada yang terjerumus ke lembah muflis kerana menggunakannya tanpa memahami terma dan syarat, namun menikmati kemudahan berkenaan hingga terjerat dalam beban hutang berpanjangan.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan Jabatan Insolvensi Malaysia baru-baru ini, sebanyak 5,502 kes muflis berpunca daripada kad kredit.
Selain kad kredit, antara punca utama muflis di negara ini ialah pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan dan pinjaman perniagaan. Experian Information Services (Malaysia) dalam analisis yang dilaporkan media baru-baru ini menyatakan, golongan berumur antara 22 hingga 28 tahun adalah mereka yang berdepan kesukaran membayar balik hutang kad kredit.
Analisis yang menggariskan trend skor dan kemudahan kredit rakyat Malaysia bagi tempoh 2019-2022 itu turut menunjukkan jumlah pembayaran balik bagi segmen hutang tidak bercagar iaitu kad kredit dan pinjaman peribadi dalam kategori 90 hari atau lebih, melibatkan golongan umur berkenaan adalah tinggi iaitu sebanyak 26.4 peratus pada 2022.
Tidak dinafikan bahawa kad kredit ada banyak manfaatnya, tetapi sedikit kesilapan dalam penggunaannya boleh menyebabkan seseorang itu mengumpul hutang hingga mencapai jumlah yang boleh menyebabkan mereka diisytiharkan muflis iaitu RM100,000.
Antara terma dan syarat yang sering dipandang ringan tetapi memberi impak besar kepada kewangan pengguna kad kredit ialah kadar faedah yang boleh mencecah 18 peratus setahun dan kemudahan membayar minimum setiap bulan. Kedua-dua kemudahan ini menyebabkan hutang yang kecil menjadi besar dalam jangka panjang tanpa disedari pengguna.
Ini berlaku kerana ramai golongan muda tidak memahami bagaimana ‘bunga’ atau kadar faedah dan kesan kuasa pengkompaunan berfungsi. Kebanyakan mereka ini boleh dikatakan gagal belajar untuk memahami kesan kadar faedah dan pengkompaunan terhadap hutang kerana menggunakan kad kredit sebaik mula bekerja memandangkan kad kredit ini sangat mudah diperolehi.
Justeru, pengguna kad kredit dinasihatkan supaya memahami mengenai kadar faedah dan kesan kuasa pengkompaunan terhadap hutang yang ditangguhkan pembayarannya.
Ini kerana ramai tidak sedar bahawa membayar minimum lima peratus sahaja setiap bulan boleh menggandakan hutang RM1,000 kepada RM2,000 dalam masa lebih kurang empat tahun.
Menggunakan kad kredit tidak salah, tetapi sedikit kesilapan dalam menguruskan bayaran balik akan menjerat penggunanya ke lembah hutang berpanjangan.
Kesilapan ini berkemungkinan besar akan menjejaskan laporan kredit yang dikeluarkan Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit atau CCRIS dan memberi kesan kepada keupayaan membuat pinjaman baik seperti pinjaman perumahan.
Ketika inilah biasanya pengguna akan berasa terjerat memandangkan mereka ingin mendapatkan pinjaman lebih baik untuk membina kehidupan, namun terhalang kerana kesilapan dalam pengurusan kad kredit.
Laporan CCRIS ini biasanya digunakan sebagai antara sumber oleh institusi kewangan untuk menyemak sejarah kredit pemohon sebelum meluluskan atau tidak permohonan baharu.
Justeru, apabila menggunakan kad kredit pastikan anda mempunyai wang tunai yang cukup untuk membayarnya semula dalam tempoh tanpa faedah.
Jangan sesekali menggunakan kad kredit sebagai pengganti tunai terutamanya untuk barangan kecil kerana kita mungkin terlupa untuk membayarnya.
Selain itu, adalah lebih baik sebelum mula menggunakan kad kredit, melabur terlebih dahulu untuk membina tabung kecemasan yang menyamai sekurang-kurangnya enam bulan gaji semasa. Dengan cara ini, pengguna tidak perlu menggunakan kad kredit untuk kecemasan atau perkara yang tidak perlu.