BANGKOK - Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mencadangkan Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar perlu diberi tempoh 'lebih setahun', dan individu yang dilantik tidak semestinya seorang menteri luar.
Beliau berkata, ini bagi memastikan duta khas itu mampu menyumbang secara berkesan dalam menamatkan konflik di negara yang diperintah junta itu.
Duta khas itu tidak semestinya seorang menteri luar yang turut bertanggungjawab bagi tugas diplomatik lain, supaya beliau benar-benar dapat memberi lebih tumpuan kepada Myanmar, katanya semasa sidang media pada Rabu.
Pada masa ini, Menteri Luar Negara yang mempengerusikan ASEAN dilantik sebagai utusan khas untuk menjalin kepercayaan dan keyakinan dengan akses penuh kepada semua pihak yang terlibat di Myanmar.
Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar sekarang ini ialah Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn.
Pelantikan duta khas itu terdapat dalam Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui pada mesyuarat khas ASEAN di Indonesia pada akhir April 2021 untuk memulihkan kestabilan di Myanmar tetapi tertangguh selama berbulan-bulan.
5PC menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta, mengadakan dialog dengan semua pemegang kepentingan utama, pelantikan utusan khas untuk memudahkan pengantaraan dan untuk delegasi melawat dan bertemu dengan pihak berkepentingan di Myanmar, dan membenarkan ASEAN memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Myanmar.
Sementara itu, Saifuddin berkata, ASEAN mungkin mendapatkan sokongan daripada rakan dialognya untuk membantu dalam proses damai Myanmar yang diterajuinya.
"Sesetengah daripada kami mengemukakan kepada mesyuarat bahawa jika ASEAN tidak mampu melakukannya sendiri, maka kami mungkin perlu melibatkan beberapa rakan dialog ASEAN...tetapi persoalannya pihak manakah yang didengari oleh junta," katanya sambil menambah bahawa perkara itu akan dibentangkan semasa mesyuarat pemimpin ASEAN pada November.
Sementara itu, Saifuddin mengulangi bahawa ASEAN perlu melibatkan diri dengan Kerajaan Perpaduan Negara (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) Myanmar.
"Kini ia berat sebelah kerana ASEAN hanya melibatkan junta.
"Itulah sebab mengapa Malaysia berkali-kali mencadangkan kepada duta khas untuk melibatkan NUG dan NUCC dan mewar-warkan kemajuan rundingan kepada umum supaya rakyat Myanmar mengetahui perkembangan semasa," katanya.
Junta Myanmar menggesa anggota ASEAN supaya tidak bertemu kumpulan yang menentang rampasan kuasa, yang digelar sebagai"persatuan yang tidak sah dan kumpulan pengganas".
Minggu lalu, menteri luar dari sembilan daripada sepuluh negara anggota ASEAN memuktamadkan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM-55) dan Mesyuarat Berkaitan selama tiga hari di Phnom Penh, Kemboja, mereka berkata 'sangat kecewa' dengan kekurangan kemajuan dan komitmen junta Myanmar dalam melaksanakan 5PC.
ASEAN akan menilai kemajuan ke arah pelaksanaan 5PC oleh Majlis Pentadbiran Negeri (SAC) junta pada sidang kemuncak November akan datang untuk memutuskan mengenai langkah seterusnya.
Tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada 1 Feb 2021 dan menahan pemimpin yang dipilih Aung San Suu Kyi dan beberapa aktivis politik. Sejak rampasan kuasa yang diketuai oleh Jeneral Hlaing, sekurang-kurangnya 2,114 orang telah terbunuh di Myanmar dalam kempen untuk menyekat penentangan yang meluas terhadap pemerintahan tentera. - Bernama