Dua beradik tercicir pelajaran kembali semula ke sekolah

Iklan
Yumn Nakyeishaa (kiri) dan Dahnea Dabryshaa (tengah) menunjukkan surat tawaran kembali ke sekolah kepada ibu mereka.

BUTTERWORTH - Dua beradik yang sebelum ini tercicir daripada persekolahan akibat kesempitan hidup kini boleh kembali ke sekolah selepas nasib mereka mendapat perhatian wakil rakyat dan Jabatan Pelajaran Negeri Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Yumn Nakyeishaa Amir Hamzah,16, dan adiknya, Dahnea Dabryshaa Amir Hamzah,14, terpaksa berhenti sekolah sejak empat tahun lalu selepas pendapatan kedua ibu bapa terjejas berikutan masalah kesihatan yang dihadapi.

Iklan
Iklan

Kehidupan dua beradik itu bertambah perit apabila bapa mereka yang selama ini menjadi tempat mereka bergantung meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada tahun lalu, manakala ibu mereka pula kehilangan kaki kiri disebabkan penyakit kencing manis.

Yumn Nakyeishaa berkata, dia dan adiknya reda dengan nasib menimpa keluarga, namun menyimpan hasrat untuk kembali ke sekolah bagi mengejar cita-cita dan mengubah kehidupan mereka.

Iklan

Menurutnya, dia dan adiknya tetap mengulangkaji pelajaran menerusi aplikasi YouTube dan Google biarpun silibus berbeza.

"Walaupun tidak dapat ke sekolah, kami tetap belajar dan melakukan latihan di rumah supaya tidak ketinggalan, namun agak susah juga kerana tiada siapa yang boleh beri tunjuk ajar periksa sama ada jawapannya betul atau tidak.

Iklan

"Memang saya tertekan apabila memikirkan masa depan sekiranya tidak berpeluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan kerana saya bercita-cita ingin menjadi seorang usahawan hartanah," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Pangsapuri Melur di sini pada Khamis.

Dahnea Dabryshaa berkata, dia mengakui cemburu apabila melihat rakan dan jiran yang sebaya dengannya dapat ke sekolah sementara dia pula hanya tinggal di rumah sahaja.

Lip Chee (tiga dari kiri) menyerahkan surat tawaran kembali ke sekolah kepada ibu Yumn Nakyeishaa dan Dahnea Dabryshaa.

Jelasnya, dia dan kakak memberitahu rakan-rakan yang mereka berdua hanya bersekolah di rumah sahaja untuk mengelakkan daripada diejek.

"Memang cemburu bila tengok mereka bersekolah dan dapat melakukan macam-macam aktiviti di sekolah.

"Tetapi hari ini apabila ibu beritahu yang saya akan kembali ke sekolah tak lama lagi, kami kembali bersemangat dan bertekad mahu belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-cita menjadi seorang pramugari suatu hari nanti,” katanya.

Yumn Nakyeishaa dan Dahnea Dabryshaa akan memulakan sesi persekolahan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Kastam di sini pada Isnin depan.

Berita gembira itu disampaikan Exco Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Zulkafli Kamaruddin yang hadir ke rumah mereka untuk menyerahkan surat tawaran kemasukan semula sekolah serta memberikan sumbangan kelengkapan persekolahan berserta wang tunai.

Selain itu, Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal turut menyampaikan sumbangan pakaian serta kelengkapan sekolah selain berjanji untuk memberi bantuan lain termasuk mencarikan pusat tuisyen untuk kedua-dua beradik berkenaan.