ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa memanggil satu Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Undang-undang tubuh negeri dipinda selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong menjelaskan, ia berkaitan larangan Ahli Dewan lompat parti yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru-baru ini.
Swee Leong berpandangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri ini mesti dilaksanakan sebelum DUN dibubarkan.
"Ia bagi menghentikan 'politik katak' dalam kalangan Ahli Dewan yang telah mencetuskan ketidakstabilan politik sekali gus mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap sistem demokrasi negara.
"Kedah sendiri berdepan kemelut politik selepas ADUN Lunas, Datuk Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee mengisytiharkan keluar parti menjadi ADUN Bebas serta empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) hingga menyebabkan jatuhnya satu kerajaan (Pakatan Harapan di Kedah),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, insiden 'politik katak' ini patut diambil sebagai iktibar dan patut dihentikan agar ADUN yang dipilih menghormati mandat rakyat serta tidak lompat sesuka hati demi kuasa, kedudukan dan kepentingan peribadi.
Tambah beliau, pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah ini selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap politik.
"Ia juga dapat mengukuhkan kestabilan ekonomi negeri dalam menarik pelabur luar negara.
"Demi kepentingan rakyat dan masa depan Kedah, kedua-dua ADUN dari DAP Kedah khususnya dan ADUN di blok pembangkang bersedia memberi kerjasama dan sokongan penuh dalam meluluskan pindaan ini sekiranya Menteri Besar Kedah memanggil DUN untuk buat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut sebelum Sidang Bajet Kedah nanti,” katanya.