KOTA KINABALU - Kes jenayah siber di seluruh negara meningkat kepada lebih 20,000 kes pada tahun lalu, kata Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Menurutnya, peningkatan itu membabitkan kes berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel.
Beliau berkata, isu keselamatan siber adalah antara isu penting yang perlu diberi perhatian susulan peningkatan mendadak kes yang dilaporkan di negara ini.
"Saban tahun, jumlah kes yang direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel telah meningkat hampir sekali ganda.
"Pada tahun 2021, bilangan kes jenayah siber telah meningkat kepada lebih 20,000 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM560 juta berbanding 13,000 kes dan kerugian berjumlah RM539 juta yang telah direkodkan pada 2019," katanya ketika berucap sempena Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan 2022 pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri selaku Setiausaha Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP), Rahimi Ismail dan Pengurus Besar Kanan Keselamatan Kumpulan Petronas, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, keselamatan siber yang kukuh amat penting ketika negara menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana ia bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital.
"Jadi sebarang isu melibatkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat.
"Ketika kita bergerak ke hadapan dan hidup dengan teknologi di mana bandar pintar sedang dibina serta misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital," jelasnya.
Tambahnya, banyak ancaman semasa dan baharu muncul membabitkan teknologi baharu yang tidak pernah didengari dalam tempoh sedekad yang lalu.
"Pada masa sama, landskap keselamatan negara ketika ini berubah dengan lebih pantas berbanding sebelum ini.
"Oleh itu, mengikuti perubahan ini adalah antara cabaran terbesar dalam memastikan pertahanan dan keselamatan negara dan Sasaran Penting terjamin," katanya.