SHAH ALAM - Tindakan seorang lelaki menerima upah RM1,800 untuk membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Kota Bharu, Kelantan ke Klang terbongkar apabila dia ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Tun Teja, Alam Impian dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika ditahan, tiga daripada PATI berkenaan ditemui bersembunyi di bahagian but kereta jenis Nissan Teana yang dinaiki mereka dari Kota Bharu.
"Siasatan awal mendapati pemandu Nissan Teana terbabit yang juga seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun telah membawa tiga PATI lelaki di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan tiga perempuan yang disembunyikan dalam but kereta.
"Ketiga-tiga wanita warga Myanmar berkenaan dipercayai bersembunyi di dalam but terbabit sejak dari Kota Bharu lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Iqbal berkata, kesemua PATI warga Myanmar terbabit dipercayai menuju ke destinasi sekitar Klang untuk bekerja.
Katanya, suspek mengaku menerima upah sebanyak RM300 bagi setiap seorang PATI dibawanya daripada seorang individu yang dikenali sebagai 'Pok Sey'.
"Pemeriksaan lanjut terhadap beg yang dipakai oleh suspek telah menjumpai peralatan menghisap dadah dan juga satu plastik yang mengandungi 50 biji pil berwarna merah yang dipercayai pil kuda," katanya.
Beliau berkata, suspek direman 28 hari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 manakala PATI terbabit direman 14 hari bermula Khamis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," ujarnya.