Aaron-Wooi Yik mahu tamat badi

Iklan
Aaron (kiri) bersama Wooi Yik menunjukkan pingat emas dan perak yang dimenanginya pada temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), - pada Rabu. - Foto Bernama

BEREGU lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berazam menamatkan badi terkandas di pusingan separuh akhir pada penampilan di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun dari 22 hingga 28 Ogos ini.

Aaron berkata, mereka sudah menampilkan persembahan terbaik ketika membantu Malaysia meraih pingat emas acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini, namun sekali lagi hampa apabila terkandas di separuh akhir acara beregu lelaki.

Iklan
Iklan

Katanya, bagi melepasi ‘tembok’ itu mereka berdua bukan sahaja akan berbincang dengan jurulatih bagi mencari solusi terbaik, malah menggandakan usaha demi memastikan mampu melangkah ke pentas akhir di Tokyo.

"Saya rasa di Sukan Komanwel prestari masih okey dan memang kita target boleh dapat emas, tapi ada sedikit kekecewaan dalam acara beregu, masih boleh nampak macam tidak konsisten dan masih kalah di separuh akhir.

Iklan

"Kami susah untuk kenal pasti apa masalah kami untuk mara ke final, tapi kami sedang cari cara untuk selesaikan itu,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Pada Sukan Komanwel Birmingham pasangan ranking keenam dunia itu terkandas di separuh akhir beregu lelaki selepas tewas 21-18, 17-21, 4-21 kepada gandingan England Ben Lane-Sean Vendy.

Iklan

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tetap membawa pulang pingat selepas menundukkan rakan senegara Chan Peng Soon-Tan Kian Meng dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Sementara itu, mengulas mengenai undian kejohanan dunia di Tokyo, Aaron berkata, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dan optimis mampu mencipta kejayaan untuk negara.

"Tapi kami harap boleh lepasi separuh akhir di Tokyo nanti, cuma kita tidak mahu terlalu tertekan ketika perlawanan itu,” katanya.

Berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Aaron-Wooi Yik mendapat bye pada pusingan pertama dan dijadual bertemu sama ada gandingan Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han atau Joan Monroy-Carlos Piris dari Sepanyol. - Bernama