JASIN - Polis menahan seorang penganggur yang dipercayai menjadi tokan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sempang Pantai di sini awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, lelaki berusia 48 tahun yang juga penagih dadah tegar itu diberkas hasil serbuan yang dilakukan pada kira-kira jam 1.50 pagi Khamis menerusi Op Tapis.
Katanya, hasil pemeriksaan polis ke atas lelaki itu menjumpai 30 paket plastik lut sinar disyaki heroin dengan anggaran berat 207 gram, 22 paket plastik lut sinar disyaki syabu (52 gram), satu paket lut sinar disyaki pil erimin 5 (lapan gram) dan satu paket lut sinar berisi ketulan mampat serta cebisan daun kering disyaki ganja (dua gram).
"Kesemua dadah tersebut ditemukan dalam beg silang berzip berwarna hijau yang disilang pada badan lelaki itu ketika serbuan dilakukan di premis berkenaan dan ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis MOP.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak kira-kira 30 tahun lepas serta mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan bahan terlarang itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Mispani berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang lelaki di Muar, Johor dan dijual secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Merlimau dan Sungai Rambai di sini.
Menurutnya, lelaki tersebut direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) serta Seksyen 6 akta sama. - Bernama