Sindiket cuci dadah lama sebelum edar tumpas

Iklan
Kamarul Zaman menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dan cuci dadah dalam tiga serbuan di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pontian pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan tersebut tiga suspek berusia 32 hingga 49 tahun termasuk seorang wanita dan lelaki warga asing ditahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis juga merampas dadah jenis syabu seberat 11.13 kilogram (kg), ketamin seberat 4.23kg dan 440 biji pil erimin 5.

"Turut dirampas enam kenderaan berjumlah 346,000, wang tunai RM109,840, pelbagai jenis barang kemas berjumlah RM7,758.

Iklan

"Jumlah keseluruhan nilai dadah dan sitaan bagi operasi khas ini berjumlah RM1.107 juta," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata, sindiket yang sudah beroperasi sejak Mac lalu menggunakan modus operandi menyewa apartment mewah bagi mengelak aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.

Iklan

"Mereka menyewa kondominium atau apartment mewah yang ada 'guard gated' pada awal tahun ini dan jadikan sebagai tempat proses bersihkan dadah.

"Berdasarkan bahan kimia ditemui, kita percaya ada proses pencucian di mana dadah lama diperbaharui semula untuk dijual iaitu dadah jenis 'ice' atau syabu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara kerana memiliki pasport dan kad pengenalan yang disyaki palsu.

"Semakan rekod juga mendapati suspek warga asing pernah ditangkap dua kali di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2020," katanya.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine dan hasil semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.