Waktu operasi pejabat PMA, UTC dipendekkan mulai Isnin

Iklan
Khairul Dzaimee

PUTRAJAYA - Semua pejabat pengeluar Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung Malaysia akan mengalami perubahan waktu operasi berkuat kuasa Isnin ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ia berdasarkan trend statistik permohonan PMA yang semakin berkurangan pada sesi malam.

Menurutnya, pejabat pengeluar PMA di semua negeri dan cawangan beroperasi mulai jam 8 pagi hingga jam 7 petang pada hari bekerja kecuali bagi Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi mulai jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

Iklan
Iklan

"Pejabat pengeluar PMA di semua negeri dan cawangan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga jam 12.30 tengah hari pada hari Sabtu kecuali bagi Negeri Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairul Dzaimee berkata, pejabat UTC beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 9 malam pada hari bekerja kecuali bagi Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

Iklan

"Semua pejabat UTC termasuk Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang pada hujung minggu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai peningkatan jumlah permintaan permohonan PMA selepas pembukaan sempadan negara pada April lalu.

Iklan

Susulan itu, waktu operasi di pejabat pengeluar PMA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dilanjutkan sehingga 10 malam manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan sehingga 6 petang bagi mengatasi kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam mendapatkan PMA.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, orang ramai yang telah membuat permohonan PMA terutamanya secara dalam talian perlu membuat kutipan PMA dengan kadar segera bagi mengelakkan PMA tersebut dibatalkan.

"Pada masa ini terdapat lebih 9,000 PMA yang telah dicetak tetapi masih belum dikutip oleh pemohon," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keluhan dan kritikan daripada orang ramai.

"Kita juga sentiasa mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan terutamanya berkaitan imigresen berjalan lancar dan menepati ekspektasi Keluarga Malaysia," katanya.