SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu penarikan balik produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs dari pasaran Eropah kerana mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO)
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak syarikat yang mengimport telah menarik balik produk aiskrim terlibat di pasaran secara sukarela sejak isu tersebut diterima oleh KKM pada Julai lalu.
Menurutnya, KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs dari pasaran Eropah kerana mengandungi bahan ETO berdasarkan laporan notifikasi European Union Rapid Alerts Systems for Food and Feed (EURASAFF).
"Notifikasi tersebut menyatakan bahawa terdapat penarikan balik produk aiskrim dari negara Perancis yang mengandungi ekstrak vanila dari negara Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap yang dibenarkan.
"Produk aiskrim tersebut juga telah diedarkan ke beberapa negara termasuk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dr Noor Hisham berkata, KKM melaksanakan pemantauan yang berterusan bagi memastikan produk terlibat tidak dipasarkan di dalam negara.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan ETO merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.
"Ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan," katanya.
Tambah beliau, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
Katanya, pengguna yang masih ragu-ragu akan produk berjenama terlibat yang dijual boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq.