Dari suka-suka, kini jadi sumber pendapatan

Iklan
Wan Fatimah bergambar di hadapan chalet yang disediakan untuk pengunjung yang ingin menginap.

SEPASANG suami isteri di Kubang Pasu, Kedah tidak menyangka projek mengindahkan dusunnya yang dimulakan sekadar 'suka-suka' ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu kini berubah menjadi sumber pendapatan.

Pemilik Dusun Riffaa di Sungai Kechil Changlun, Wan Fatimah Megat Saad, 38, berkata, tanah dusun seluas 0.58 hektar itu dibeli bersama suaminya Mohd Ridzal Ramli, 43, pada tahun 2018.

Iklan
Iklan

Katanya, ketika pelaksanaan PKP operasi butik pakaiannya terpaksa dihentikan atas arahan kerajaan.

"Ketika itu saya agak tertekan disebabkan sewa kedai dan gaji pekerja perlu dibayar sedangkan tiada langsung pendapatan diperoleh.

Iklan

"Jadi saya banyak habiskan masa di dusun ini untuk cari ketenangan, pada masa itu hanya ada sebuah rumah rehat yang kami bina," katanya ketika ditemui di Dusun Riffaa di sini pada Khamis.

Wan Fatimah berkata, dia dan suami kemudian membesarkan dusun berkenaan sedikit demi sedikit termasuk membina lapan unit chalet dan pondok rehat.

Suasana malam yang menenangkan di Dusun Riffaa, Sungai Kechil Changlun di sini.

Iklan

"Kami memang langsung tak ada hasrat nak buat seperti ini sewaktu awal- awal beli dusun, tetapi aturan ALLAH SWT sangat indah.

"Selepas dua tahun akhirnya kami membuka dusun kepada orang awam secara rasmi pada 1 Ogos lalu," katanya.

Menurutnya, suaminya mengambil konsep dari negara Thailand untuk membangunkan dusun mereka termasuk dari segi makanan dan binaan chalet.

Daging Bakar Dannok antara menu yang mendapat permintaan.


Wan Fatimah menunjukkan menu makanan Thailand yang terdapat di dusun yang diusahakannya.

"Selain menyediakan tempat penginapan, terdapat restoran yang menawarkan menu makanan dari Thailand seperti Miangpla dan Daging Bakar Dannok di sini.

"Disebabkan terlampau ramai pelanggan yang datang makan di sini, kami terpaksa tunda dulu perkhidmatan penginapan buat sementara waktu," katanya.

Ujarnya, sempena promosi pembukaan, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung sehingga 20 Ogos ini.

"Pelanggan boleh masuk untuk makan dan juga mandi-manda di anak sungai terdapat di sini secara percuma," katanya.

Pengunjung juga dapat mandi manda secara percuma sehingga 20 Ogos ini.

Dalam pada itu Wan Fatimah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung yang tidak berhenti memberi sokongan kepadanya ketika ini.

"Saya pun tidak sangka dusun kami akan tular sebegini dan menerima ramai pengunjung setiap hari, malah ada yang sanggup datang dari jauh.

"Insya-ALLAH saya dan pekerja akan memberi layanan sebaik mungkin dan dalam proses membesarkan dusun ini untuk memberi keselesaan kepada pengunjung," katanya.