MERAK Jalanan tertarik dengan kisah seorang pelawak tanah air yang mengajar anak-anaknya mengaji.
Berdasarkan video yang tular beberapa hari lalu, pelawak berkenaan mengajar anak-anaknya dengan nada suara yang tegas dan sesekali suaranya tinggi.
Jauh berbeza dengan karakternya yang sentiasa membuatkan orang ketawa di atas pentas. Menerusi ruangan komen netizen di media sosial, rata-rata memberikan respons positif dan memuji gaya pengajaran diterapkan pelawak tersebut.
Namun, ramai juga mengecam dan menasihati pelawak itu supaya tidak menggunakan ‘kekerasan’ sewaktu mengajar. Mereka bimbang perbuatan sebegitu akan mengganggu emosi anak-anak dan mungkin memberi kesan pada masa akan datang.
Bagi Merak Jalanan, setiap ibu bapa ada cara tersendiri mendidik anak masing-masing terutama didikan agama. Ada cara lembut dan ada juga tegas.
Kisah pelawak itu mengingatkan Merak Jalanan ketika belajar mengaji dengan emak sewaktu kecil. Sebatang rotan sentiasa ada di tangannya. Kalau main-main, memang berbirat tangan kena ketuk. Bab kena marah, usah ceritalah. Memang selalu kena tinggi suara jika sebutan salah.
Tapi marah emak bukannya berpanjangan. Cukup semasa mengaji sahaja dan selepas itu kami sekeluarga akan duduk bersama menonton televisyen.
Dek kerana ketegasan itu juga, Merak Jalanan pandai mengaji walaupun tidaklah sehebat atau semerdu anak-anak tahfiz. Ilmu itu sudah boleh diamalkan sepanjang hayat. Begitu besar ilmu yang ditinggalkan emak Merak Jalanan.
Tapi Merak Jalanan percaya, setegas mana pun ibu bapa, setinggi mana pun suara yang dilontarkan kepada anak-anak, perasaan sayang itu masih menebal. Mereka hanya mahu melihat anak-anak menjadi orang yang berguna suatu hari nanti.
Sehingga hari ini Merak Jalanan tetap respek dengan cara-cara orang dahulu mengajar anak-anak mereka.