PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag masih berahsia mengenai status bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Brentford di Stadium Komuniti Gtech pada Ahad.
Bagaimanapun menurut Ten Hag, pihaknya tidak menolak kemungkinan pemain berusia 37 tahun itu bakal tersenarai dalam kesebelasan pemain bagi aksi berkenaan.
"Dia (Ronaldo), baru seminggu menjalani latihan.
Biasanya, ia akan mengambil masa dan anda tidak boleh memaksanya.
"Lagi pun, dia perlu berlatih lebih kerap bagi berada pada tahap kecergasan yang optimum.
"Oleh itu, saya percaya jika dia beraksi berdepan Brentford, ia akan membantunya untuk menjadi lebih cergas menjelang minggu-minggu akan datang,” katanya.
Untuk rekod, skuad The Red Devils itu gagal meraih tiga mata berharga di Old Trafford apabila tumpas 1-2 kepada Brighton pada aksi sulung EPL minggu lalu.
Mengulas kekalahan berkenaan, Ten Hag berkata, kesebelasan pemain sebenarnya dilihat masih tercari-cari rentak dan gagal mempamerkan aksi sebenar.
Bagaimanapun katanya, apabila Ronaldo dimasukkan jentera tengah, serangan United dilihat menjadi lebih baik dan lebih kerap mengasak ke gawang pelawat.
"Jelas, kita beraksi lebih baik terutamanya di bahagian tengah pada separuh masa kedua.
"Gandingan Christian Eriksen dan Ronaldo ternyata berjaya membantu mencipta banyak peluang gol, namun gagal disempurnakan dengan baik,” katanya.