BUAT julung kalinya, Leicester City berpeluang menurunkan kesebelasan terbaiknya apabila kesemua pemainnya disahkan cergas menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Arsenal di Emirates pada Sabtu.
Pengendali The Foxes, Brendan Rodgers berkata, situasi berkenaan nyata memberikan khabar gembira buat skuad kendaliannya bagi memburu tiga mata berharga setelah melakar kemenangan ke atas Crystal Palace di Sellhurst Park, minggu lalu.
"Tiada pemain cedera dan tiada masalah kecederaan baharu yang dilaporkan berlaku dalam kalangan pemain setakat ini.
"Oleh itu, kita boleh mula mencongak peluang bagi menurunkan kesebelasan terbaik di Emirates dan seterusnya merealisasikan misi membawa pulang tiga mata berharga,” katanya.
Untuk rekod, Leicester meraih satu mata pada aksi sulung EPL musim ini apabila terikat 2-2 dengan Brentford di Stadium King Power, minggu lalu.
Sementara itu, Rodgers berkata, biarpun bakal menurunkan barisan terbaik kali ini, namun kesemua pemain diingatkan untuk sentiasa fokus sepanjang perlawanan berkenaan.
Katanya, Arsenal juga dijangka menurunkan barisan terbaik bagi meneruskan momentum kemenangan setelah menewaskan Crystal Palace 2-0 minggu lalu.
"Pemain perlu sentiasa berwaspada kerana pastinya Arsenal tidak mahu kecewa apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri setelah melakar kemenangan sulung minggu lalu.
"Kekal fokus dan jangan lakukan kesilapan-kesilapan yang boleh mengundang padah,” katanya.