PUTRAJAYA - Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Khairuddin Aman Razali selepas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyifatkan parti itu rugi meninggalkan Muafakat Nasional (MN) untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Enggan mengulas lanjut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata:
"Sebenarnya Khairuddin itu yang rugi tinggalkan Pas...tolong beritahu kat dia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Laman Watani Yayasan Wakaf Malaysia, di sini pada Jumaat.
Khairuddin pada Mac lalu mengumumkan keluar daripada parti itu selepas 33 tahun menyertainya.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu bagaimanapun enggan mendedahkan alasan berhubung pendiriannya itu, selain menegaskan beliau akan menjadi ahli Parlimen bebas.
Meskipun dilihat lebih mesra UMNO, Khairuddin mengambil sikap 'kunci mulut' berhubung status dan perancangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi laporan portal pada Khamis, Khairuddin berkata, jika Pas meninggalkan UMNO untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ia tidak membawa sebarang keuntungan seperti terbukti ketika gabungan itu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
"Pandangan saya, merugikan (tinggalkan UMNO) kerjasama dengan Bersatu, tetapi saya kena berkecuali juga...itu hak Pas dan hak Presiden Pas untuk berijtihad dengan cara dia,” katanya.