KEDAH Darul Aman (KDA) FC akan mengadakan satu sesi dialog bersama kelab-kelab penyokong Kedah bagi menerangkan perkembangan terkini pasukan tersebut berikutan kebimbangan peminat terhadap prestasi semasa pasukan itu pada Ahad.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali berkata, agenda utama sesi dialog tersebut adalah perkongsian perancangan semasa pengurusan kelab dalam menilai prestasi semasa skuad Sang Kenari.
Menurutnya, perjumpaan tersebut akan dihadiri oleh Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bersama wakil barisan kejurulatihan dan pemain Liga Super 2022.
"Pihak pengurusan mengambil perhatian terhadap isu yang dibangkitkan dan memutuskan untuk berdialog dengan semua kelab penyokong Hijau Kuning," katanya yang dipetik melalui surat kepada Kelab Penyokong HijauKuning Negeri Kedah pada Khamis.
Jemputan tersebut adalah maklumbalas yang diberikan oleh KDA FC selepas Kelab Penyokong HijauKuning Negeri Kedah memohon untuk mengadakan sesi dialog bersama pengurusan kelab Sang Kenari.
Setiausaha Kelab Penyokong HijauKuning Negeri Kedah, Mohd Zaman Awang Kechik pada 3 Ogos lalu telah memohon sesi dialog diadakan sebagai kesinambungan kepada sesi dialog pertama yang diadakan pada Januari lalu.
Menurutnya, menyedari kebimbangan ramai pihak terhadap prestasi terkini pasukan, kelab penyokong berharap KDA FC berlapang dada untuk menerimaan pelawaan itu demi kebaikan Sang Kenari.
KDA FC tersingkir dari saingan Piala AFC Zon ASEAN 2022 selepas tewas 1-2 kepada PSM Makassar di peringkat separuh akhir pada 9 Ogos lalu.
Di peringkat saingan domestik pula, Sang Kenari yang merupakan naib juara Liga Super musim lalu sekadar berada di tangga ketujuh liga dengan mengutip 17 mata selepas 13 perlawanan bagi musim 2022.