Isu p-hailing: KSM bakal buat pengumuman penting

Iklan
Saravanan (tengah) ketika melancarkan Portal MyPerkasa TVET di WTC Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) bakal membuat satu pengumuman penting dalam masa terdekat berkaitan dengan isu kebajikan pekerja p-hailing dan e-hailing di dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau sudah berbincang berkenaan perkara itu bersama dengan Ketua Setiausaha kementeriannya.

Iklan
Iklan

"Sebelum itu saya akan bawa perkara ini kepada Jemaah Menteri untuk dapat kelulusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) dan Portal MyPerkasa TVET di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Baru-baru ini, media melaporkan sekumpulan penghantar p-hailing melakukan boikot dengan tidak beroperasi selama 24 jam sebagai tanda tidak berpuas hati dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Iklan

Sementara itu, Saravanan berkata, isu kekurangan pekerja asing dihadapi syarikat di dalam negara sudah berjaya diselesaikan termasuk berkaitan dengan urusan bersama 14 negara sumber.

Pada 19 Julai lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan purata kekurangan pekerja di sektor perladangan sawit adalah dianggarkan seramai 54,190 orang.

Iklan

Selain itu, syarikat Malaysia dari perladangan sawit hingga pengeluar semikonduktor dilaporkan terpaksa menolak tempahan dan terlepas jualan berbilion ringgit akibat kekurangan lebih sejuta pekerja.

Mengulas mengenai pinjaman pendidikan dilancarkan itu, Saravanan berkata, ia akan disediakan untuk semua kaum dengan peminjam tidak perlu membayar faedah untuk 12 bulan pertama.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) agar pinjaman itu diberikan kepada individu mengikuti kursus yang mempunyai permintaan tinggi pada masa hadapan.

"Sebab hari ini kita lihat satu masalah besar dihadapi negara ialah ketidaksepadanan kerja di mana graduan tidak dapat peluang pekerjaan apa yang mereka peroleh dalam pendidikan.

"Salah satu sebab kerana kita tidak mengenal pasti program pendidikan yang ada peluang pekerjaan meluas.

"Maka PTPK perlu mengkaji sektor TVET yang ada masa depan dengan melihat kepada perkembangan industri revolusi 4.0,” ujarnya.