RUU kawalan tembakau: Jawatankuasa Pilihan Khas mesyuarat minggu depan

Iklan
Khairy (tiga dari kiri) ketika pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Johor di Bandar Dato Onn, di sini pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dianggotai 12 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang akan mengadakan mesyuarat pada minggu hadapan.

Pengerusinya yang juga Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, peruntukan undang-undang dari segi penguatkuasaan dan jumlah denda yang akan dikenakan antara perkara yang perlu diteliti sebelum RUU itu diluluskan.

Iklan
Iklan

"Kita akan dengar dahulu pandangan daripada ahli Jawatankuasa Pilihan Khas. Saya yakin, RUU ini akan mendapat sokongan berdasarkan perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini, dikatakan 95 peratus bersetuju secara dasarnya.

"Malah, surat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyatakan persetujuan secara dasar terhadap RUU ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jelajah Nasional Sihat peringkat negeri di Bandar Dato Onn di sini pada Jumaat.

Iklan

Pada 2 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas akan menggunakan tempoh sebulan bermula sekarang untuk menambah baik RUU berkenaan serta membuat pindaan berkaitan.

Katanya, selepas tempoh itu, Jawatankuasa Pilihan Khas akan membentangkan laporan penambahbaikan RUU berkenaan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Iklan

"Pembentangan semula dibuat sama ada pada sidang khas atau Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Parlimen ke-14 akan datang bermula 26 Oktober.

"RUU itu akan dibentangkan pada sesi persidangan akan datang, melainkan jika Khairy meminta Perdana Menteri (Ketua Majlis Mesyuarat) mengadakan satu sesi khas," katanya.

Jawatankuasa itu dianggotai Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Ia turut dianggotai Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni; Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); Sivarasa (Sungai Buloh); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor); Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran); Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun).