Pembinaan HSA2 dijangka diluluskan dalam Bajet 2023

Iklan
Khairy Jamaluddin ( kanan) melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Johor di Bandar Dato Onn pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober depan mungkin beri khabar gembira kepada warga Johor apabila kerajaan dijangka meluluskan projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 di Kempas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, selain HSA2, sebuah lagi hospital baharu di Pasir Gudang sedang rancak dibina.

Iklan
Iklan

Katanya, hospital tersebut sudah pun mencapai 40 peratus pembinaan dijangka siap November 2024 sekaligus membantu mengatasi kesesakan pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Hospital Pasir Gudang yang sedang dibina dan HSA 2 yang akan dibina, membolehkan sejumlah lebih 700 katil baharu ditambah untuk menampung keperluan pesakit kawasan bandar raya Johor Bahru dan sekitarnya Pasir Gudang, Kulai, Iskandar Puteri dan Skudai.

Iklan

"Ia akan dapat mengurangkan kesesakan-kesesakan di hospital-hospital sedia ada terutamanya HSA dan yang lebih penting lagu akan dapat menampung keperluan kawasan bandaraya Johor Bahru yang sangat sangat padat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Johor di Bandar Dato Onn, di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, dianggarkan terdapat seramai dua juta penduduk tinggal di Johor Bahru, dan angka ini tidak termasuk mereka yang datang dari daerah-daerah lain yang mahu menggunakan khidmat doktor pakar di bandar raya itu.

"Situasi itu menyebabkan kes-kes yang dirujuk di hospital di Johor Bahru datang dari daerah- daerah lain. Oleh kita perlukan pelaburan ini untuk perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di negeri ini.

"Kini lebih kurang 90 peratus tahap penggunaan (occupancy rate) di HSA dan HSI. (Kadar penggunaan) ini adalah agak tinggi untuk hospital awam," katanya.

Sebelum itu dalam ucapannya, Khairy berkata Jelajah ANMS itu, turut menggerakkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan, yang diharapkan akan menjadi satu wadah pembudayaan kawalan kesihatan kendiri.

Inisiatif terbabit menyasarkan seramai 130,000 orang akan disaring di Johor pada tahun ini.