Tidak sewenang-wenang lulus permohonan daftar tarekat

Iklan
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Amran)

SEREMBAN - Jabatan Mufti Negeri Sembilan tidak sewenang-wenangnya meluluskan setiap permohonan pendaftaran pengamalan tarekat di negeri itu.

Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Amran Awaludin berkata, setiap permohonan akan melalui proses tapisan yang ketat sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa di dalam peruntukan Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

Iklan
Iklan

"Kita tidak sewenang-wenangnya bagi kelulusan. Kita akan tengok pelbagai faktor termasuk latar belakang pemohon dan bukannya sekadar berdasarkan mimpi semata-mata.

"Ia kemudian akan dipanjangkan kepada anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah untuk kajian lanjut dan hasilnya akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa untuk membuat keputusan.

Iklan

"Jadi tidak timbul isu kita mudah beri kelulusan kepada setiap permohonan pendaftaran tarekat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelasnya, sebarang aktiviti yang ingin dilaksanakan perlulah diadakan di pusat pengamalan tarekat itu saja bagi mengelakkan salah faham dan fitnah.

Iklan

"Bukan setakat itu saja, setiap tarekat perlu menghantar laporan kepada pendaftar tarekat setiap tahun dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Sebab itu apabila timbulnya isu baru-baru ini berkenaan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah kita ada kuasa untuk mengarahkan ia ditutup untuk siasatan lanjut dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan netizen di media sosial terhadap Jabatan Mufti Negeri Sembilan yang mendakwa jabatan itu telah membuka pintu kesesatan susulan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyya yang telah berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 13 Ogos 2018 tetapi kini diarahkan tutup kerana dikatakan ada perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak.