Bekas Pengarah JSJK Bukit Aman nafi dakwaan Raja Petra

Iklan
Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika menjawat jawatan sebagai Pengarah JSJK Bukit Aman.

KUALA LUMPUR - Semua yang dinyatakan itu fitnah, tidak benar sama sekali, tegas bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkaitan dakwaan yang dilemparkan penulis blog Raja Petra Kamaruddin berkaitan serbuan dan rampasan yang dijalankan di rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2018 lalu.

Amar berkata tuduhan yang dilemparkan Raja Petra yang mendakwa terdapat wanita awam yang hadir di lokasi serbuan dan mengambil beg yang dirampas polis adalah sama sekali tidak berasas.

Iklan
Iklan

"Ini tuduhan berunsur fitnah semata-mata, serbuan dan rampasan di rumah bekas Perdana Menteri itu adalah serbuan terbesar dalam sejarah pasukan polis.

"Rekod terperinci dibuat berhubung barangan yang dirampas polis dan tiada wanita awam berada di sana atau sebarang barang dikeluarkan oleh wanita sebagaimana dakwaan Raja Petra itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya, pegawai dan anggota terlibat dalam serbuan berkenaan terdiri daripada pelbagai jabatan berbeza dalam PDRM.

"Serbuan itu dijalankan bersama beberapa timbalan dan penolong pengarah jabatan serta kira-kira 70 pegawai dari pelbagai jabatan seperti JSJK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Tindakan Khas (UTK).

Iklan

"Ia dilaksanakan bagi mengelakkan dakwaan palsu dibuat kelak," katanya.

Menurutnya, serbuan dijalankan dengan penuh tersusun sekali gus dakwaan ada konspirasi adalah tidak benar sama sekali.

"Keseluruhan proses serbuan diambil gambar dan dirakam video dari awal hingga akhir oleh oleh pasukan bebas dari Jabatan Siasatan Jenayah, gambar dan video ini masih dalam simpanan JSJ.

"Bangunan yang diserbu itu dilengkapi lebih 100 televisyen litar tertutup (CCTV) dan lebih 50 wartawan berkumpul di lobi yang merupakan satu-satunya pintu keluar ketika itu," katanya.

Tegasnya, adalah sesuatu yang mustahil sekiranya terdapat individu lain yang didakwa membawa keluar beg rampasan.

"Tidak mungkin orang awam dapat mengelak rakaman kamera dan video ini tanpa disedari sesiapa, melainkan orang ini mempunyai ‘ilmu ghaib’ dan tidak kelihatan.”

"Bagi saya ini merupakan fitnah jahat yang sengaja dibuat sekali gus berniat mencalarkan imej PDRM," katanya.

Tambahnya, satu laporan polis akan dibuat berkaitan dakwaan yang dilakukan Raja Petra itu.

"Saya akan membuat laporan polis di Bukit Aman pada hari ini.

"Saya difahamkan beberapa pegawai kanan lain akan turut membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung dakwaan itu," katanya.

Ujar Amar, dakwaan yang mengatakan dirinya berhijrah ke Kanada adalah tidak benar sama sekali.

"Saya masih berada di sini, dan akan terus tinggal di negara ini sehingga saya mati," katanya.

Terdahulu, menerusi sidang media pada 27 June 2018, bekas Pengarah JSJK Bukit Aman memaklumkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Katanya, sebanyak 12,000 barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis.

Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.