KUANTAN - Sebanyak tujuh 'check point' menjadi destinasi persinggahan Program Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM 2022) Peringkat Negeri Pahang berlangsung Jumaat hingga Ahad ini.
Daerah Maran merupakan lokasi persinggahan pertama peserta konvoi sebelum bergerak ke Jerantut, Lipis, Raub, Temerloh, Bera sebelum berakhir di Mersing, Johor.
Jabatan Penerangan Negeri Pahang dalam kenyataannya berkata, Mersing merupakan titik terakhir yang menjadi lokasi penyerahan 'pass baton' Negeri Pahang kepada Negeri Johor.
Menurut kenyataan itu, KMKM 2022 diaktifkan kembali setelah dua tahun (2020-2021) direhatkan akibat pandemik Covid-19.
"Pelaksanaan KMKM 2022 kali ini berkonsepkan 'pass baton' dengan membawa baton Jalur Gemilang ke seluruh negara dan diserahkan di setiap sempadan negeri.
"Program ini merupakan acara tahunan sempena meraikan ulang tahun kemerdekaan negara dan sebagai satu kempen menggalakkan rakyat memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negara selaras dengan tema Bulan Kebangsaan tahun ini Keluarga Malaysia Teguh Bersama," katanya.
Peserta konvoi KMKM 2022 Negeri Pahang terdiri daripada wakil agensi itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kumpulan Permotoran BMW K16.
"Setiap lokasi persinggahan konvoi KKM2022 akan diadakan pelbagai program termasuk mengagih, melekat dan memasang Jalur Gemilang.
"Pertandingan berunsur kenegaraan juga turut disusun di setiap 'check point' dalam usaha memupuk, menyemai semangat patriotisme dan cinta negara dalam kalangan Keluarga Malaysia," katanya.
Menurutnya, kembara itu turut menonjolkan keunikan Keluarga Malaysia di setiap lokasi persinggahan termasuk budaya, makanan, tarikan dan gaya hidup komuniti setempat.