SEREMBAN - Dek kerana ingin merasai sendiri kemeriahan PRK DUN Rantau, seorang pembantu operasi yang juga orang kurang upaya (OKU) sanggup meredah perjalanan hampir satu jam menunggang motosikal.
Itulah kegigihan yang ditunjukkan Mohd Hidzir Othman, 52, yang kudung kedua-dua belah kaki sejak lahir meskipun bukan pengundi di DUN berkenaan.
"Saya sanggup meredah laluan sejauh kira-kira 20 kilometer setiap malam dari Rembau ke Rantau kerana ingin melihat sendiri suasana PRK yang jarang-jarang berlaku ini.
"Selain dapat mengetahui perkembangan isu semasa, saya juga ingin mengambil peluang untuk menemui pemimpin negeri dan pusat,"katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Taman Sri Ramai, di sini.
Katanya, sejak hari pertama kempen bermula sehingga kini, dia tidak pernah ketinggalan untuk mengikuti ceramah yang diadakan di DUN Rantau itu.
"Saya akan pergi mendengar ceramah melibatkan parti BN dan PH kerana saya ingin tahu apa yang kedua-dua parti tawarkan untuk rakyat.
"Apa yang saya lakukan ini atas dasar semangat sebagai rakyat Malaysia yang inginkan terbaik untuk negara,"katanya yang sentiasa ditemani sahabat baiknya, Mohd Yusof Harun, 59.
Ditanya sama ada penat atau tidak berulang alik setiap malam, dia mengakui penat namun tetap seronok berbuat demikian.
"Kalau ikutkan jarak 20 kilometer dengan menunggang motosikal tidak akan mengambil masa yang lama jika dengan kelajuan biasa.
"Tetapi saya gemar membawa motosikal dengan perlahan selain tidak ingin tergesa-gesa," katanya.