KUALA LUMPUR - Imbangan akaun semasa Malaysia mencatatkan lebihan RM4.4 bilion pada suku kedua 2022 berbanding RM3.0 bilion pada suku sebelumnya, disokong oleh eksport bersih barangan dan defisit lebih rendah pada pendapatan primer dan perkhidmatan.
Dalam laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat, akaun kewangan merekodkan aliran masuk bersih RM0.2 bilion, terutamanya disumbangkan oleh aliran masuk bersih pelaburan lain dan pelaburan langsung.
Katanya, rizab antarabangsa berjumlah RM480.0 bilion pada akhir suku kedua 2022 (suku pertama 2022:RM485.8 bilion).
Menurut DOSM, pelaburan langsung asing merekodkan aliran masuk bersih RM17.3 bilion berbanding RM24.4 bilion pada suku sebelumnya, manakala pelaburan langsung di luar negeri mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM14.7 bilion berbanding RM3.6 bilion pada suku sebelumnya
Akaun barangan mencatatkan eksport bersih sebanyak RM34.0 bilion pada suku kedua berbanding RM40.5 bilion pada suku pertama tahun ini.
Eksport barangan meningkat 10.0 peratus suku ke suku kepada RM295.8 bilion daripada RM268.9 bilion pada suku sebelumnya dengan produk utama eksport adalah elektrik dan elektronik, petroleum dan minyak sawit khususnya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat.
Malah, import barangan menunjukkan pertumbuhan dua digit iaitu 14.6 peratus suku ke suku, berjumlah RM261.8 bilion (suku pertama 2022: RM228.4 bilion) dengan import utama yang terdiri daripada barangan perantaraan, diikuti barangan modal dan penggunaan yang diimport terutamanya dari China, Singapura dan Taiwan.
Akaun perkhidmatan mencatatkan defisit RM12.3 bilion pada suku kedua berbanding defisit RM15.0 bilion pada suku pertama, didorong terutamanya oleh defisit perjalanan yang lebih rendah sebanyak RM0.5 bilion (suku pertama 2022: defisit RM4.0 bilion).
Akaun pendapatan primer mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM14.7 bilion pada suku kedua berbanding RM20.1 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya disebabkan terimaan yang lebih tinggi sebanyak RM25.3 bilion iaitu peningkatan 64.6 peratus daripada suku sebelum, khususnya dalam pelaburan langsung.
"Sementara itu, akaun ini juga mencatatkan bayaran yang lebih tinggi sebanyak RM40.0 bilion berbanding RM35.5 bilion pada suku sebelumnya, khususnya dalam pelaburan langsung,” menurut DOSM.
Akaun modal mencatatkan defisit RM90.5 juta berbanding RM86.3 juta pada suku sebelumnya disebabkan aliran keluar bersih pada perolehan/ pelupusan aset bukan kewangan bukan pengeluaran pada RM32.4 juta (suku pertama 2022: aliran keluar bersih RM11.3 juta).
"Pelaburan portfolio pula mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM14.7 bilion (suku pertama 2022: aliran keluar bersih RM10.1 bilion),” katanya. - Bernama