TAPAH - Perasaan tidak sedap hati seorang anak membawa khabar duka apabila ibunya disahkan maut dalam nahas di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Jambatan Sungai Batang Padang di sini pada Jumaat.
Kemalangan sekitar jam 7.15 pagi itu telah mengorbankan Shahriza Ishak, 39, selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah treler sebelum terseret sejauh 10 meter.
Menurut suami Shahriza, Abd Aziz Ahmad, 52, berkata, kebimbangan itu disuarakan oleh anaknya, Nur Syazwani, 17, ketika menghubunginya yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini.
"Dia telefon beritahu rasa tidak sedap hati apabila ibu mereka tidak pulang lagi selepas hantar dua adiknya yang berusia 11 dan 15 tahun ke sekolah.
"Saya terus pulang dan ambilnya sebelum hantar ke sekolah. Ketika melalui lokasi kejadian, saya ternampak motosikal warna biru dengan ada mayat yang ditutupi plastik hitam dan kesan berkecai.
"Saya cam motosikal isteri. Saya terduduk menggeletar manakala anak saya menangis di tepi jalan. Saya tahu apabila kemalangan melibatkan treler, memang dia tiada harapan," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tapah di sini.
Menurutnya, menjadi rutin arwah untuk menghantar tiga anak mereka ke sekolah apabila dia bekerja shif malam.
"Dia akan berulang-alik mengambil anak kami untuk dihantar ke sekolah. Ketika kejadian, sepatutnya dia ambil Syazwani untuk hantar ke sekolah.
"Saya seolah-olah tidak percaya yang dia sudah 'pergi' sedangkan sebelum kejadian dia ada menghubungi saya mengadu anak perempuan tertidur ketika bersiap-siap ke sekolah," katanya.
Kata Abd Aziz, dia kini perlu menguruskan keluarga terutama anak sulung mereka lelaki berusia 19 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Nur Syazwani berkata, ibunya ada menunjukkan perubahan ketara pada pagi kejadian apabila tiada lagi bebelan yang menyuruh mereka tiga beradik bersiap.
"Selalu ibu akan bising tetapi hari ini dia kejutkan tidur pun lembut sahaja. Pagi ini ibu sangat lain, dia banyak diam, kami tidak terfikir itu petanda dia tinggalkan kami.
"Masa nampak ibu terbaring saya rasa lemah dan saya berharap itu mimpi dengan harapan apabila bangun ibu sebenarnya ada lagi. Apa pun, sudah tulis untuk ibu pergi," katanya.
DIfahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Damai di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemandu treler berusia 36 tahun itu telah ditahan untuk siasatan lanjut berikutan dia didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Siasatan ke atas lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala siasatan bagi kes kemalangan pula dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.