KUALA SELANGOR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengenal pasti sebanyak 4, 019 koperasi atau 27.09 peratus di negara ini berstatus dorman yang tidak menjalankan sebarang aktiviti dan mesyuarat agung tahunan dalam tempoh tiga tahun.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, semua pegawai koperasi di negeri masing-masing perlu membuat semakan dan membuat pemutihan koperasi yang dikenal pasti sebagai dorman.
Menurutnya, sebahagian koperasi dorman yang mempunyai seramai 149, 638 keanggotaan itu juga sudah lama ditubuhkan malah ada di antaranya mempunyai aset dan tidak membuat laporan tahunan.
"Malah, kita juga dapati ada di antara koperasi itu mempunyai aset koperasi dan perkara ini akan dilihat status aset tersebut serta kemudiannya menutup pendaftaran terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Koperasi Sukarelawan Rakyat Selangor (KRiiS) Berhad dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Rela Daerah Kuala Selangor di Hotel De Palma Kuala Selangor pada Jumaat.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pemutihan status dorman itu dilakukan selaras Seksyen 64 Akta Koperasi 1993.
Beliau turut memberitahu, sebanyak 1,854 daripada 8,961 koperasi seluruh negara tidak aktif namun masih berpeluang untuk diselamatkan dan menjalankan aktiviti tahunan.
Jelas beliau, koperasi tidak aktif yang masih menjalankan mesyuarat dan akuannya turut diaudit boleh memohon peruntukan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
"Sekiranya mereka (koperasi tidak aktif) bercadang dan berminat untuk memulakan program boleh dibantu SKM dari segi bantuan geran serta pinjaman," ujarnya.