PERAK FC tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana perbuatan ganas yang telah mencetuskan insiden pergaduhan melibatkan penyokong pasukan itu dengan Kelantan FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Rabu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bobie Farid Shamsuddin berkata, pihaknya menghargai semangat yang ditunjukkan penyokong The Bos Gaurus itu namun beliau berpendapat mereka yang terlibat tidak mempunyai tempat di mana-mana stadium.
"Dalam kemeriahan pertemuan antara Perak FC dan Kelantan FC, malangnya terdapat beberapa insiden keganasan yang melibatkan penyokong serta berlaku kerosakan ke atas kenderaan penyokong Perak FC dan beberapa orang penyokong yang cedera.
"Perak FC ingin menjelaskan bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan penyokong yang mencetuskan aktiviti ganas dan menghasut, bagi kami mereka tidak mempunyai tempat di stadium," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, Perak FC akan bertindak segera ke atas sebarang aduan atau laporan rasmi terhadap tingkah laku penyokongnya.
"Tindakan paling tegas akan diambil untuk melarang pengaruh sedemikian disebarkan.
"Perak FC juga akan memberi jaminan kepada semua penyokong, pasukan bola sepak serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa kami akan memastikan aspek keselamatan berada pada tahap optimum pada perlawanan kami di Ipoh," katanya.
Bobie Farid berkata, Perak FC juga akan bekerjasama rapat dengan pasukan lain untuk memastikan keganasan penonton akan dihapuskan secara beransur-ansur.
"Seperti sedia maklum, semangat dan kesungguhan peminat bola sepak memang terkenal dan Perak FC memahami perkara ini. Lebih-lebih lagi di Malaysia yang melibatkan sukan utama serta kebanggaan negara.
"Dalam memastikan jangka hayat, kelestarian dan juga peningkatan mutu Liga Bola Sepak Malaysia, ia menjadi kewajipan kepada setiap kelab untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk penyokong yang menghadiri perlawanan," katanya.