PUTRAJAYA - Malaysia dan Qatar komited akan terus memperjuangkan isu Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.
Perkara itu dicapai dalam pertemuan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani di Wisma Putra pada Jumaat.
Saifuddin berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meneruskan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan.
"Saya dan Sheikh Mohammed berbincang mengenai situasi terkini pengeboman di Gaza oleh Israel dan kami juga menyatakan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan yang berlaku di Afghanistan," katanya pada sidang akhbar sejurus pertemuan itu.
Dari segi ekonomi, beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan hubungan perdagangan antaranya kerjasama FGV Holding dan Baladna Industries.
"Kami telah mengenal pasti dua lokasi iaitu Perlis dan Pahang untuk membangunkan ladang tenusu terbesar di negara ini," katanya.
Ujarnya, kedua-dua negara juga melihat peluang kewangan Islam dan ekonomi digital.
"Kita melihat perdagangan Malaysia dan Qatar dengan negara lain adakalanya kompleks, jadi perlu fikirkan cara lain," katanya.
Sementara itu, Sheikh Mohammed berkata pihaknya sangat prihatin dengan apa yang berlaku di Gaza.
"Kami juga sangat mengalu-alukan Malaysia untuk beroperasi di Qatar dan menggunakan kemudahan serta fasiliti yang ada," katanya.
Sheikh Muhammed berada dua hari di Malaysia dalam lawatan rasminya bermula Khamis.
Lawatan itu merupakan susulan ke atas lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar pada Mac 2022, serta sebagai persiapan awal untuk lawatan negara oleh Amir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ke Malaysia pada 2023.
Beliau mengadakan kunjungan mengadap ke atas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ismail Sabri.