KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari menyelamat (Op Carilamat) dua lagi nelayan yang hilang akibat bot karam di perairan Pulau Redang pada Isnin lalu ditamatkan jam 7 malam pada Jumaat kerana tiada sebarang petunjuk.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, operasi itu diaktifkan selama empat hari bagi mengesan dua lagi mangsa, Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49 dan Ahmad Zamri Ishak, 66 yang dipercayai masih hilang.
Katanya, radius pencarian yang memasuki hari keempat itu merangkumi 449.2 batu nautika.
"Operasi Carilamat ditamatkan oleh Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan setelah tiada penunjuk terkini diperoleh.
"Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat akan diaktifkan semula jika terdapat petunjuk baharu yang menyumbang ke arah penemuan mangsa," katanya dalam kenyataan disini, pada Jumaat.
Beliau berkata, pengkalan hadapan Ops Carilamat ditubuhkan di Pulau Redang melibatkan lebih 100 anggota Polis Diraja Malaysia dan (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Antara aset yang digerakkan sepanjang operasi itu ialah Kapal Maritim (KM) Redang, KM Bagahak, Bot Perkasa 1234, Bot Perikanan PTL 13 serta pesawat udara Bombardier CL415 dan AW 139.
"Operasi itu turut dibantu lebih 10 bot nelayan tempatan," katanya.
Rabu lalu, tiga nelayan yang hilang iaitu Saludin Ismail, 50; Ahmad Nazri Ishak, 48 dan Zulkifli Umar, 48 ditemukan lemas manakala Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, ditemui selamat.
Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata, Maritim Malaysia menyeru semua komuniti laut dan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut supaya menitik beratkan aspek keselamatan.
"Sebarang maklumat mengenai kecemasan boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 09-6224357," katanya.