Tiada ruang kegiatan komunis muncul semula dalam negara

Iklan
Dari kiri: Mejar Imaduddin selaku Moderator, Dr Hasan, Abdullah dan Suan Kim pada program tersebut di Maktab Polis Diraja Malaysia, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pemantauan berterusan dibuat Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kegiatan dan tindak-tanduk pengikut fahaman komunisme dilihat berupaya untuk mengekang kemunculan semula aktiviti berkenaan di dalam negara.

Bekas Ketua Pegawai Turus E1M Cawangan Khas PDRM, Datuk Abdullah Abdul Hamid berkata, bagaimanapun adalah mustahil untuk menghalang mana-mana individu daripada berpegang dengan ideologi itu.

Iklan
Iklan

"Saya yakin tiada kemungkinan untuk perkara itu (kegiatan komunis) terjadi sebab ia dipantau Cawangan Khas PDRM. Itu memang kerja mereka.

"Tetapi mustahak untuk generasi sekarang faham bahawa ideologi tidak boleh dihalang, sesiapa sahaja boleh membaca bahan berkenaan komunisme, asalkan jangan ‘profess’, ajar, pengaruhi orang lain atau angkat senjata menentang kerajaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam program Bicara Perwira anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama PDRM bertajuk Pengorbanan Polis Menentang Pengganas Komunis di Maktab PDRM, di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semasa berucap di program itu berkata perubahan landskap ekonomi dunia dan juga perkembangan teknologi menuntut PDRM memperkukuhkan jaringan keselamatan negara mengikut situasi semasa.

Razarudin bersama Abdul Aziz ketika hadir pada Program Bicara Perwira Pengorbanan Polis menentang Pengganas Komunis di Maktab Polis Diraja Malaysia, hari ini. Foto Bernama

Iklan

Menurutnya selain jenayah konvensional, PDRM juga berhadapan dengan cabaran baru jenayah transnasional seperti pengubahan wang haram, jenayah siber, penyeludupan manusia, pencerobohan pendatang asing tanpa izin, dadah dan hidupan liar yang semakin mendapat perhatian masyarakat.

"Pada masa sama, pengalaman mengendalikan ancaman luar jangka membabitkan krisis kesihatan pastinya menjadi pedoman terbaik PDRM untuk kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan terbaik selaku agensi penguatkuasa undang-undang tertua di negara ini,” katanya.

Selain Abdullah, turut menjadi panel di program berkenaan adalah Dekan Kanan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan UMP, Prof Madya Dr Hassan Ahmad dan peguam, Ooi Suan Kim. - Bernama