Melaka United berdepan ujian karakter di Hang Jebat

Iklan
Foto Melaka United Football Club

MELAKA United bakal berdepan laluan getir apabila berdepan kelab sensasi yang sedang meningkat naik Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Pertahanan skuad Hang Tuah, Mohd Fadhli Shas, melabelkan Sri Pahang sebagai sebuah pasukan berbeza sejak diterajui Datuk Dollah Salleh yang menggantikan Christoph Gamel.

Iklan
Iklan

"Walaupun bermain di laman sendiri pada Sabtu ini, saya tidak fikir kami ada kelebihan besar memandangkan Sri Pahang sedang lalui fasa terbaik apabila menang dalam tiga perlawanan terakhir.

"Memang perlawanan ini sangat getir dan kami perlu memanfaatkan sahaja peluang serta ruang malah tidak boleh lakukan banyak kesilapan kerana jentera serangan Sri Pahang begitu berbahaya.

Iklan

"Saya juga mengenali kekuatan dimiliki Dollah kerana pernah bekerja dengannya semasa bersama pasukan kebangsaan satu ketika dahulu, beliau sangat pandai membangkitkan semangat pemain-pemain.

"Namun Melaka United tidak boleh terlalu gentar dengan Sri Pahang kerana kami juga ada kelebihan tersendiri serta ada pamerkan banyak peningkatan kebelakangan ini, cuma ada kalanya keputusan tidak sebelahi pasukan,” katanya.

Iklan

Justeru, tiada jalan mudah buat Melaka United yang berhasrat mahu kembali bangkit selepas dikecewakan Sabah FC di Stadium Likas pada 31 Julai lalu.

Sejak diambil Dollah, Sri Pahang hanya tewas kepada Penang FC, 5-2 pada peringkat suku akhir Piala FA namun berjaya mengejutkan Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan PJ City FC pada tiga aksi terakhir.

Biarpun berada di tangga kesembilan Liga Super, Melaka United masih mempunyai peluang terbuka untuk mengejar kedudukan dalam kalangan empat terbaik berikutan jurang mata yang tipis dengan Kuala Lumpur City selain Sri Pahang, Terengganu, Kedah Darul Aman dan Selangor.

Sementara itu, Fadhli harap momen kekalahan kepada Sabah melalui jaringan pada minit terakhir perlawanan tidak akan berlaku sekali lagi.

Malah, situasi itu seakan-akan mengulangi apa yang terjadi ketika Melaka tewas kepada JDT pada saingan suku akhir Piala FA, 23 Julai lalu.

"Tewas pada saat-saat terakhir permainan sememangnya satu momen yang sangat pedih kepada mana-mana pemain dan harap perkara sama tidak akan terjadi lagi.

"Kami perlu kekalkan fokus sehingga tamat wisel permainan jika tidak mahu terus dilanda kekecewaan kerana apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak dan menentang Sri Pahang, saya harap kami tidak lagi lalui detik yang sama,” katanya.