IPOH - Polis menafikan dakwaan bahawa seorang suspek telah dikasari sehingga menyebabkan kecederaan serius dalam satu serbuan di Seri Manjung, Lumut seperti yang tular di akaun Twitter seorang pemilik.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya pada Jumaat mengesan video berdurasi 28 saat itu yang dimuat naik pemilik akaun Twitter @MacSelvam memaparkan dua anggota polis didakwa memukul seorang individu menggunakan objek menyerupai kayu di kawasan laluan anak tangga di sebuah bangunan.
Iklan
Iklan
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas. Polis menafikan sekeras-kerasnya ada mengasari suspek yang ditangkap kerana selepas ditahan, suspek berada dalam kawalan polis dan memberi kerjasama sepenuhnya," katanya dalam kenyataan malam Jumaat.
Mengulas lanjut, Nor Omar berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, polis mengesahkan insiden itu berlaku di Seri Manjung semasa pihaknya melakukan serbuan ke atas suspek yang dipercayai terlibat dengan kes dadah pada 10 Februari lalu.
"Semasa serbuan dibuat, suspek telah melarikan diri dengan terjun melalui tingkap di tingkat satu bangunan tersebut sehingga mengalami kecederaan di bahagian tumit kaki dan suspek berjaya ditangkap polis dan telah dibawa semula ke bangunan tersebut untuk tujuan pemeriksaan lanjut.
"Justeru itu, polis ingin menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan," katanya. - Bernama